PETALING JAYA: Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza berterima kasih terhadap kerprihatinan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berhubung isu berita palsu yang mengaitkan dirinya, semalam.
Kata Siti, isu buli siber bukan sahaja kerap kali berlaku terhadap dirinya, bahkan melibatkan banyak pihak lain.
Oleh itu, jelasnya, masyarakat perlu dibendung daripada sebarang penyebaran berita palsu sehingga tular dalam media sosial.
“Jadilah pengguna yang berhemah, matang menilai dan tidak menggunakan akal, jari atau ilmu yang Allah pinjamkan kepada perkara yang tidak berfaedah,” tulis Siti menerusi ciapan dalam Twitter.
Siti mengulang ciap hantaran status Fahmi dalam media sosial tersebut yang menegur tindakan portal berita rotikaya.com mengenai penulisan berita palsu yang kemudian merebak menjadi fitnah.
Penyiaran berita itu membuatkan ada kelompok masyarakat percaya sehingga dijadikan bahan politik.
Hasil semakan mendapati portal berita tersebut sudah memadamkan artikel fitnah tersebut.
Semalam, tular dalam media sosial mengenai Siti yang didakwa memuat naik hantaran di Facebook kononnya tidak menyangka acara yang dihadirinya di Kedah bertukar seperti sebuah majlis politik.