Jangan jadikan perbezaan senjata pecah belah kesatuan ummah - Sultan Kedah

Jangan jadikan perbezaan senjata pecah belah kesatuan ummah – Sultan Kedah

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah ketika berangkat ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Kedah ke Tanah Suci 1444 Hijrah di Hotel Raia, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar semua umat Islam di negeri ini tidak menjadikan sebarang perbezaan sebagai senjata untuk memecah belahkan kesatuan ummah.

Titah baginda, sempena musim haji tahun ini semua pihak perlu menjadikan ia sebagai satu iktibar yang mengajar umat Islam untuk bersabar, bertoleransi dan berkasih sayang. 

“Mengambil iktibar daripada pelaksanaan ibadat haji, beta berharap umat Islam di Kedah terus bersatu hati, tanpa melihat sebarang perbezaan yang boleh memecah belahkan kesatuan ummah dan keharmonian masyarakat berbilang bangsa,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian ketika berangkat ke Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Kedah ke Tanah Suci 1444 Hijrah di sini.

Bertitah lanjut, baginda turut mengingatkan semua jemaah haji agar sentiasa menjaga akhlak dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negeri Kedah.

“Semua bakal jemaah haji harus mematuhi dan menghormati peraturan serta undang-undang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi demi menjaga hubungan kedua-duanya yang sudah lama terjalin,” titah baginda.

Turut ditekankan dalam titah itu, Sultan Sallehuddin menyeru agar jemaah terlibat sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika menunaikan ibadah tersebut ekoran pandemik Covid-19 yang belum reda sepenuhnya.

“Melihat kepada situasi pandemik dunia yang masih belum pulih sepenuhnya, beta menasihati para bakal jemaah haji untuk terus menjaga kebersihan diri dengan semua SOP sentiasa dipatuhi.

“Pada musim haji kali ini dijangkakan seramai tiga juta umat Islam dari pelbagai negara akan mula berkumpul semula di Tanah Suci,” titah Sultan Kedah. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya