Jambatan runtuh jejas 5,000 penduduk - Utusan Malaysia

Jambatan runtuh jejas 5,000 penduduk

RAFLI MD. NOOR menunjukkan struktur Jambatan Enggor di Sungai Siput yang runtuh akibat arus deras semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Kira-kira 5,000 penduduk di beberapa buah kampung di sekitar Karai di sini terjejas apabila jambatan yang menjadi penghubung utama mereka runtuh akibat arus deras Sungai Enggor malam tadi.

Penduduk, Rafli Md. Noor, 50, berkata, kejadian pada pukul 11.40 malam itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan pada sebelah petang sehingga menyebabkan paras air sungai naik mendadak.

Katanya, arus sungai yang deras telah mengakibatkan hakisan dan tanah rebak sebelum struktur jambatan tersebut retak dan runtuh.

Bagaimanapun katanya, insiden itu tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa.

“Mula-mula runtuhan berlaku di sebelah kiri iaitu jalan menghala ke Karai, namun tidak lama selepas itu ia merebak pula ke bahagian kanan jambatan akibat tanah jerlus.

“Runtuhan itu menyebabkan jambatan sepanjang 13 meter ini terpaksa ditutup kepada kenderaan. Keadaan ini menggangu rutin harian penduduk kerana ia merupakan laluan utama untuk keluar bekerja dan ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, kejadian jambatan runtuh itu adalah yang ketiga berlaku sepanjang dia tinggal di sana sekali gus menyifatkan jambatan itu wajar dibina baharu ekoran keadaan yang uzur.

“Jambatan ini sudah terlalu uzur, ia pun sudah lama dibina sejak tahun 1900 atau lebih kurang sama tempohnya dengan Jambatan Victoria.

“Sebab itu kita perlukan sangat jambatan baharu, kalau boleh jambatan yang lebih besar dan kukuh untuk tampung kenderaan berat. Sekarang pun, kalau bas lalu memang boleh rasa jambatan bergegar,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk, Ahmad Qarib Khairuddin, 54, berkata, laluan alternatif jalan kampung disediakan untuk komuniti setempat namun hanya untuk kegunaan motosikal disebabkan laluan yang sempit.

“Memang ada jalan alternatif tapi terhad kepada motosikal, jadi bas kilang dan bas sekolah perlu guna laluan lebih jauh hingga empat kilometer melalui jalan besar ke Kampung Loh dan pekan Karai.

“Kita harap kerja baik pulih jambatan ini dapat disegerakan kerana ramai penduduk yang terjejas akibat runtuhan ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan berkata, laluan jambatan itu akan ditutup selama lapan bulan untuk kerja-kerja pembaikan dijalankan.

“Proses ini akan dilakukan secepat mungkin dan buat masa ini, Bahagian Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) bermesyuarat membincangkan isu ini kerana akan melibatkan satu peruntukan yang besar,” katanya.

Kejadian itu turut mengakibatkan penduduk di beberapa kawasan iaitu Pekan Karai, Kampung Loh, Bendang Sungai, Kampung Kapur, Kampung Periang dan sekitarnya mengalami gangguan bekalan air akibat saluran paip utama pecah.

Lembaga Air Perak (LAP) dalam kenyataan di Facebook memaklumkan, kerja-kerja baik pulih sedang dilakukan di lokasi kejadian dan gangguan berlaku sehingga kerja pembaikan selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya