Jambatan baharu dibina di Kampung Enggor - Utusan Malaysia

Jambatan baharu dibina di Kampung Enggor

MOHAMMAD Nizar Jamaluddin (kanan) bersama Pengarah JKR, Hamdan Ali (kiri) meninjau Jambatan Enggor yang runtuh semalam akibat hujan lebat dan arus deras Sungai Enggor di Sungai Siput hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Sebuah jambatan baharu akan dibina di Kampung Enggor di sini bagi menggantikan jambatan yang runtuh semalam akibat hujan lebat dan arus deras.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembinaan baharu jambatan itu akan segera dilakukan dan dijangka mengambil masa antara 15 bulan hingga dua tahun.

“Jambatan ini terpaksa ditutup untuk kenderaan kerana ia bahaya dan tidak stabil. Jadi, kita akan ambil tindakan serta-merta untuk bina jambatan baharu yang lebih kukuh dan selamat.

“Sebenarnya, pembinaan jambatan ini memang ada dalam rancangan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dilebarkan, tapi perkara ini (runtuhan) berlaku sebelum usaha itu dilaksanakan.

“Jadi (apabila terjadi runtuhan) kita boleh gabungkan bukan hanya untuk besarkan jambatan ini malah memperelokkan lagi. Itu jaminan daripada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi jambatan runtuh di Kampung Enggor di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, anggaran kos pembinaan jambatan tersebut masih belum diketahui dan akan diperincikan dalam masa terdekat.

“Beri dua tiga hari lagi untuk kita buat anggaran, sebabnya projek ini bukan hanya melibatkan jambatan itu sendiri tapi kerja-kerja mengukuhkan benteng Sungai Enggor ini termasuk laluan yang menghala ke Sungai Perak itu.

“Jadi, ia melibatkan kos-kos yang tidak dapat dinyatakan secara kasar buat masa ini. Pihak JKR akan memperincikannya selepas ini,” katanya.

Beliau memberitahu, penduduk yang terjejas boleh menggunakan laluan alternatif di Kampung Loh yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi runtuhan jambatan.

“Kita bernasib baik kerana ada laluan alternatif kira-kira lima kilometer dari sini. Jadi laluan tersebut akan digunakan dahulu untuk kita bina semula jambatan baharu di sini.

“Jambatan ini akan menggunakan reka bentuk dan kaedah pembinaan terkini di mana ia lebih selamat dan mengambil kira aspek-aspek keselamatan,” katanya.

Dalam kejadian sekitar 11.40 malam semalam, jambatan merintangi Sungai Enggor dekat Karai runtuh akibat arus deras dan mengakibatkan rutin harian kira-kira 5,000 penduduk terjejas.

Runtuhan jambatan itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan pada sebelah petang sehingga menyebabkan paras air sungai naik mendadak dan arus deras mengakibatkan hakisan dan tanah rebak sebelum struktur jambatan retak dan runtuh. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya