KLANG: Kerajaan Selangor meminta majikan mengenal pasti bangunan terbiar berdekatan premis mereka beroperasi yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai asrama pekerja.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, selain isu penempatan bagi pekerja, masalah bangunan terbiar yang dihadapi kerajaan juga dapat diselesaikan.
“Bangunan terbiar boleh dijadikan sebagai penginapan pekerja jangka pendek (TLQ). Kami mahu penempatan pekerja ini tidak lagi berada di kawasan perumahan kerana kita mahu penempatan dibuat secara sistematik dan memudahkan majikan serta pihak berkuasa.
“Apapun, saya minta majikan berjumpa dengan perancang bandar PBT sebelum mereka jadikan sesebuah bangunan terbiar itu sebagai pusat penempatan pekerjanya,” katanya selepas merasmikan Seminar Kriteria Asrama Pekerja, hari ini.
Pada tahun 2020 kerajaan dilaporkan meminta semua majikan menyediakan penginapan yang rapi kepada pekerja mereka, susulan jangkitan Covid-19 yang tinggi di kalangan pekerja warga asing ketika tempoh pandemik Covid-19.
Sekiranya gagal berbuat demikian, majikan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Standard Minima Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.
Dalam pada itu, Sze Han berkata, terdapat banyak tanah terbiar berdekatan kawasan industri yang masih kosong yang berpotensi untuk membina asrama pekerja berpusat (CLQ).
“Namun, saya memahami bukan semua syarikat yang mampu membina CLQ seperti syarikat besar. Justeru itu, syarikat kecil boleh membuat TLQ daripada CLQ yang kosnya lebih rendah.
“Apapun, majikan perlu membuat TLQ mengikut spesifikasi yang ditetapkan kami,” ujarnya. – UTUSAN