Isu missing link: MBSJ diarah bawa ke MTES

Isu missing link: MBSJ diarah bawa ke MTES

SITI Mariah Mahmud (tengah) meninjau salah satu missing link yang terbengkalai di Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERI KEMBANGAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) diarahkan membawa isu jalan penghubung atau missing link di Bandar Putra Permai di sini yang terbengkalai lebih 15 tahun lalu kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu bagi membolehkan pihak MTES membuat keputusan untuk memberi keutamaan pembinaan jalan tersebut berbanding terus menunggu pihak pemaju mengambil tanggungjawab itu sedangkan para penduduk di sini terus merana menghadapi kesesakan lalu lintas.

Beliau berkata, tindakan segera itu perlu dibuat sebelum pembubaran DUN tidak lama lagi supaya fail tindakan gerak kerja boleh dibuka kerana ia hanya melibatkan perubahan polisi pihak berkuasa tempatan (PBT). 

“Kalau nak tunggu pemaju buat jalan missing link ini, lambat lagilah dan penduduk terus merana. Jadi, saya minta supaya MBSJ bawa perkara ini kepada MTES yang dipengerusikan Menteri Besar Selangor untuk menentukan pembinaan jalan ini dahulu. 

“Siapa yang akan bayar kos pembinaan jalan ini itu belakang kira, jadi, bila jalan sudah buat, mana-mana pemaju yang mahu membuat pembangunan di sini kena bayar balik kos tersebut sebelum mendapatkan Kebenaran Merancang (KM),” katanya ketika ditemui di sini Ahad lalu.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan beberapa jalan penghubung di sekitar Bandar Putra Permai, tiga daripadanya ialah di bulatan Taman Equine ke persimpangan Taman Lestari Putra (LEP), dari LEP ke Taman Desaminium dan dari Persiaran Saujana Puchong ke LEP.

Utusan Malaysia semalam melaporkan lebih 60,000 penduduk sekitar Bandar Putra Permai di sini terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas saban hari ekoran ketiadaan beberapa jalan penghubung antara taman perumahan yang terbengkalai lebih 15 tahun lalu.

Bandar Putra Permai mempunyai 13 taman perumahan dan penduduknya tiada akses jalan keluar yang mencukupi meng­akibatkan berlaku kesesakan terutama pada waktu puncak.

Lebih memburukkan, penduduk di Taman Lestari Putra misalnya, terpaksa guna jalan jauh kira-kira enam kilometer untuk keluar ke jalan utama terutama ke arah satu-satunya sekolah di Taman Desaminium berbanding 800 meter jika jalan penghubung itu dibina.

Apatah lagi, banyak projek pembangunan perumahan baharu dibina termasuk pembinaan Trafik Aliran Massa (MRT), namun jalan akses yang disyaratkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) kepada pemaju gagal dipatuhi mengakibatkan penduduk terus berhadapan masalah kesesakan tanpa penyelesaian.

Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, beliau sudah menyuarakan kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mengutamakan tiga missing link itu terlebih dahulu bagi mengurangkan kesesakan sekali gus melancarkan pergerakan trafik antara taman-taman di sini.

Katanya, pembangunan di kawasan ini semakin rancak, namun, jalan akses tidak mencukupi yang berkemungkinan pelan asal perancangan pembangunan sudah tidak lagi relevan.

Beliau turut menjelaskan, perkara ini bukan tidak boleh ada campur tangan daripada pihak kerajaan negeri, namun, ia berkaitan masalah peruntukan perbelanjaan kerana PBT sudah ada peraturan yang mensyaratkan pemaju perlu membina jalan di sekitar pembangunan yang mahu dibangunkan.

“Oleh kerana ia adalah peraturan PBT, maknanya Ahli Majlis perlu bawa kepada MMKN dan MTES supaya mengubah sedikit peraturan ini,” katanya. 

Mariah berkata, beliau akan bertemu dengan Datuk Bandar MBSJ dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara ini kerana punca kuasa terletak di bawah mereka selain isu-isu teknikal yang perlu diselesaikan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya