KANGAR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung di Hospital Selayang, sebentar tadi.
Perkara itu disahkan oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Azizan Sulaiman ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Difahamkan, Ismail yang juga adik kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim terkena serangan jantung ketika berada di rumah.
Ismail, 63, pernah menjadi ADUN Tambun Tulang selama dua penggal sejak Pilihan Raya Umum Ke -13 (PRU13) dan PRU14.
Sebelum itu, beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Arau pada PRU12 bermula dari tahun 2008 sehingga 2013.
Pada PRU15 lalu, Ismail turut bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Wan Zikri Afthar Ishak.-UTUSAN