DUNGUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkemaskan sistem pangkalan data mangsa banjir di seluruh negara untuk skim insurans Rahmah yang akan dilancarkan pada Jun ini.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, data mangsa banjir itu akan dikumpul dari pusat-pusat bencana dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Menurutnya, data tersebut juga melibatkan geografi kampung-kampung yang sering dilanda banjir.
“Jadi libat urus yang lebih serius dan lebih bersistemetik akan dilakukan untuk mendapatkan data yang tepat.
“Beri kami masa dalam tempoh mungkin enam bulan selaraskan data-data ini (mangsa banjir), insya-Allah syarikat insurans akan dapat nenawarkan pakej yang bersesuai kepada mangsa seperti perlindungan kenderaan dan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir Monsun Timur Laut daerah Dungun di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 300 mangsa banjir pada Disember 2022 dan Januari lalu menerima bantuan wang ihsan itu.
Salahuddin memberitahu, setakat ini, tiga syarikat insurans berminat untuk menawarkan pakej menarik kepada penduduk yang sering terlibat banjir.
“Penduduk yang berminat menyertai skim insurans tersebut hanya perlu membayar caruman pada harga Rahmah yang rendah dan mendapat perlindungan dalam jumlah yang setimpal,” ujarnya.
Tambahnya, penduduk yang tinggal di kawasan yang kerap berlaku banjir juga disaran tampil mendaftar bagi menglengkapkan data mangsa banjir tersebut. – UTUSAN