SHAH ALAM: Juri program realiti Big Stage 5, Aina Abdul, 29, tetap mementingkan vokal dan nyanyian walaupun peserta boleh memperoleh markah penuh untuk kreativiti.
Menurut Aina, penjurian Big Stage untuk musim kelima lebih menyeluruh. Bukan sahaja melihat kepada kreativiti susunan muzik dan penampilan, malah vokal yang disajikan di atas panggung.
“Macam kumpulan COEX, saya beri mereka 50 peratus, markah penuh untuk kreativiti. Namun mereka ada kekurangan daripada segi vokal. Kita perlu adil kerana ini pertandingan nyanyian dan akhirnya, kita hendak dengar yang sedap.
“Juri diberi set fon kepala. Bila kita pakai, kita boleh dengar nyanyian peserta lebih jelas daripada penonton di rumah atau di dewan. Sebab itu kita sangat kritikal.
“Ada yang sangat bagus bernyanyi namun kurang kreativiti seperti susunan muzik tak begitu membantu. Kita melihat secara keseluruhan dari vokal, persembahan dan penampilan semuanya memainkan peranan,” katanya selepas konsert minggu ketiga Big Stage 5, semalam.
Namun begitu, Aina tidak menafikan peserta Big Stage 5 sudah mula menunjukkan peningkatan melihat kepada persembahan yang ditampilkan.
“Minggu ini kita dapat lihat kebanyakan peserta sudah mula tahu kesedapan suara mereka. Mereka menjiwai lagu. Kami menekankan kejujuran (dalam penyampaian). Siapa yang dapat markah tinggi selalunya mereka konsisten dari segi itu,” tambahnya lagi.
Bertemakan Asmaraloka, penyanyi Naufal Azrin diumumkan tersingkir daripada meneruskan perjalanan di konsert minggu ketiga Big Stage 5.
Terdahulu, Naufal pernah diselamatkan juri menerusi Imuniti X, namun rezeki tidak menyebelahi penyanyi Casablanca itu kali ini.
Bagaimanapun, Waode menduduki tangga pertama dengan markah sebanyak 90.67 manakala Putera Muhammad dinobatkan sebagai penerima anugerah Dominasi Persembahan Terbaik yang membawa pulang wang berjumlah RM3,000.