PONTIAN: Bakal penghuni Projek Pemajuan Kawasan (PPK) di Kampung Parit Makuaseng, Benut gembira dengan pengurangan 80 peratus bayaran premium tanah oleh kerajaan negeri.
Mereka menyifatkan kesediaan kerajaan negeri mendengar rayuan 163 bakal penghuni di projek perumahan tersebut sebagai ‘hadiah Aidilfitri’.
Seorang penduduk, Tuminam Modi, 65, dan suami, Abdul Wahab Laitang, 70, sudah tidak sabar berpindah ke rumah baharu itu selepas nama mereka tersenarai dalam program penempatan semula tersebut.
Katanya, sejak mendiami Kampung Nelayan Benut pada 1983, seperti penduduk lain, fenomena air pasang besar kerap melanda kawasan itu, sekurang-kurangnya tiga kali setahun.
“Lebih meresahkan sejak kebelakangan ini fenomena air pasang besar semakin tinggi sehingga air masuk dalam rumah. Insya-Allah kami sedia mengusahakan bayaran premium tersebut setelah diberikan pengurangan supaya semua dapat berpindah segera,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.
Difahamkan setiap pemilik rumah dikenakan bayaran premium antara RM5,000 hingga RM15,000 bergantung keluasan kawasan rumah masing-masing.
Baru-baru ini ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri UMNO Bahagian Pontian, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan potongan 80 peratus bayaran premium tanah daripada RM2 juta kepada RM1.6 juta.
Projek pembangunan di atas tanah kerajaan negeri milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Johor dengan keluasan 12.14 hektar itu bermula sejak 16 Mei 2017 dan siap pada Ogos 2022 yang bertujuan menyediakan penempatan semula mangsa banjir dan air pasang besar.
Seorang lagi penduduk, Esah Salim, 65, juga meminta supaya mereka dipindahkan segera setelah menyelesaikan bayaran premium tanah kerana sudah tidak mampu menghadapi fenomena air pasang besar setiap tahun.
“Saya akan berbincang dengan anak-anak bagi menyediakan bayaran tersebut bagi menduduki rumah baharu ini nanti,” katanya yang menjalankan perniagaan menjual kerang dan kupang.
Seorang lagi penduduk, Seng Sang, 68, berharap pengumuman yang dibuat kerajaan itu dapat menamatkan penantian penduduk yang tidak sabar untuk berpindah ke rumah baharu masing-masing.
“Soal duit bayaran premium kami akan usahakan selepas pengurangan 80 peratus itu memandangkan kebanyakan penduduk telah berusia dan tidak mempunyai pekerjaan tetap,” jelasnya. – UTUSAN