Industri seni bukan pasar malam - Shiqin Kamal - Utusan Malaysia

Industri seni bukan pasar malam – Shiqin Kamal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEBERAPA KALI dia menunduk ke bawah. Mencuba untuk menyusun ayat supaya tidak terlihat seperti meminta simpati. Dia tidak perlukan belas kasihan. Cuma peluang dan ruang lebih luas untuk dia mempamer bakat.

Bagi pelakon, Shiqin Kamal, lebih sedekad keberadaannya dalam lapangan seni memberi seribu satu pengalaman. Ada yang manis namun tetap juga terselit kepahitan. Itu adalah resmi hidup anak seni.

Bukan tidak pernah rasa mengalah itu singgah di hati, tetapi soalannya tetap sama. Untuk apa mengabadikan diri dalam dunia seni yang ada hitam putihnya. Demi populariti semata? Atau kerana cinta seni?

“Kadang-kadang saya tertanya sendiri, mengapa sukar sekali perjalanan seni ini. Terutama ketika ini, jumlah pengikut media sosial menjadi penanda aras. Macam saya yang kurang pengikut ini, susah.

“Bakat mungkin jatuh ke tangga kedua. Orang lihat populariti media sosial dulu. Pendatang baharu juga ramai, itu kita tidak boleh nafikan kewujudan. Cuma adakah semuanya betul-betul punya cinta terhadap dunia seni?

“Industri seni kita macam pasar ke sekarang? Asal ada pengikut ramai, ‘kayu’ pun tak apa. Bukan mahu mengata, tetapi itu realitinya. Warganet sekarang bukan sorok-sorok kalau mahu mengomen,” ujarnya.

Seperti melimpahkan kekecewaan yang ada, bagi pelakon cantik berusia 31 tahun ini, rezeki itu sememangnya di tangan Tuhan. Tetapi jika tidak ada yang berani mengubah senario industri seni, kita akan selamanya terpuruk dalam tempurung sama.

Malah baginya, dia tidak perlu terlalu mencuba sehingga sanggup mencipta kontroversi dan publisiti murahan. Dia sedar, itu akhirnya boleh memalit lumpur kepada nama baiknya sendiri satu hari nanti.

“Bukan sekali dua kita dengar, dunia Hollywood lebih menghargai bakat berbanding populariti. Namun itu tidak terjadi di sini. Hakikat itu perlu kita telan dan hadam. Populariti media sosial lebih penting.

“Saya fikir juga, mungkin boleh saya beli pengikut dan enggagement itu. Tetapi sampai bila saya mahu menipu diri sendiri? Sampai bila saya perlu ‘menyorok’ prinsip yang bakat itu lebih utama?” soalnya.

Tunai impian arwah ibu

‘Kehilangannya’ beberapa ketika dahulu menimbulkan tanda tanya. Ketika itu juga namanya sedang memuncak, dia menjadi antara pelakon wanita yang hangat dalam pasaran seni sekitar tahun 2009.

Namun entah mengapa, dia mengambil keputusan untuk memperlahankan rentak diri walaupun tawaran yang diterima tidak cukup tangan memegang. Mengapa dia sanggup melepaskan semua itu?

“Saya berhenti seketika untuk menyambung pelajaran ketika tahun 2009. Itu adalah janji saya terhadap ibu. Dia juga mahu menunaikan janji terhadap allahyarham ayah supaya anak-anak ada segulung ijazah.

“Dua bulan selepas terima ijazah, ibu meninggal dunia. Mungkin ada yang fikir, saya rugi meninggalkan sementara dunia seni. Tetapi bagi saya, tidak sama sekali. Saya sempurnakan hasratnya ketika dia masih bernafas.

“Tetapi ketika itu memang tawaran yang datang banyak. Saya serba salah untuk tolak. Tetapi saya bukan jenis boleh buat pelbagai benda dalam satu masa. Sebab itu, saya fokus sehingga tamat pengajian,” ujarnya.

Ditanya di mana dirinya lima tahun ke hadapan, Shiqin tersenyum sendiri. Dia mengimpikan dirinya sebagai seorang isteri dan ibu kepada seorang lelaki kiriman Tuhan. Itu hasrat yang terbingkai dalam hati.

“Mungkin saya juga sudah memperlahankan kerjaya seni, fokus dengan keluarga. Memang itu niat yang saya pasang. Dulu pernah berangan hendak kahwin umur 27 tetapi sekarang masih belum bertemu.

“Tetapi dari segi kerjaya, saya memang mengimpikan untuk menggenggam trofi yang terbaik. Itu adalah tanda aras dalam karier,” ujarnya yang pernah membintangi drama, Risik Pada Hati dan Cik Ayu Mee Sanggul.

Muay Thai kerana kecewa

Namun anak kelahiran Kuala Lumpur ini tidak dapat menafikan, lambakan karakter antagonis yang pernah dilakonkan mungkin menjadi sebab utama ramai yang ‘gentar’ untuk menawarkan watak berbeza kepadanya.

Bukan menyesal atau terkilan, tetapi Shiqin mengharapkan pemain industri tidak melihat dia sekadar pembawa watak antagonis. Dia mampu merealisasikan apa sahaja watak, tidak ada terhadnya.

“Memang orang tahu, saya banyak bawa watak antagonis. Sampai ada peminat yang betul-betul fikir, saya sejahat watak dalam drama. Ada yang menjeling dan menghantar pesanan berang.

“Saya anggap itu satu pujian di atas keberkesanan watak namun jauh di sudut hati, ada kekecewaan yang timbul. Mungkin kerana watak-watak tersebut, orang cuma lihat saya dari satu sudut sahaja.

“Sebab itu, saya bulatkan semangat, cuba dunia Muay Thai. Mana tahu, pandangan orang industri terhadap saya mula berubah. Shiqin Kamal boleh bawa watak aksi, bukan sahaja antagonis,” ujarnya.

Menolak persepsi kononnya dia mendalami ilmu mempertahan diri itu kerana kecewa, kongsi pelakon Legenda Budak Setan itu, dia tidak mahu menjadi pelakon yang tidak berani mencuba sesuatu yang berbeza.

“Saya tidak belajar Muay Thai sebab nak lepaskan rasa kecewa dan marah itu. Sebaliknya, itu adalah cara terbaik untuk saya membuktikan kemampuan. Supaya pemain industri buka mata, buka ruang.

“Bila kita ada satu kelebihan, terutama mampu buat watak aksi, sama ada antagonis atau karakter baik, itu bukan satu masalah. Saya cuma harap dunia perfileman kita lebih terbuka untuk mengangkat pelakon wanita aksi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya