“KITA perlu penglibatan lebih ramai artis bukan Melayu untuk turut serta dalam filem dan drama tempatan, dan bukan terhad hanya pada pelakon Cina dan india sahaja, bahkan merangkumi orang asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.”
Demikian tegas pelakon dan model, Amber Chia yang begitu dekat di hati pencinta dunia perfileman tanah air.
Anak kelahiran Ipoh yang dibesarkan di Tawau, Sabah ini meluahkan kesedihan selepas melihat perpecahan dalam industri perfileman negara.
Realitinya, katanya, orang Melayu hanya menonton drama atau filem Melayu. Bangsa Cina pula menonton drama Cina dan begitu juga dengan kaum India yang lebih menumpukan kepada drama dan filem Tamil.
“Pada saya, ini adalah situasi yang sangat membimbangkan kerana ia akan membantutkan perkembangan industri perfileman dan hiburan kita,” katanya.
Amber berharap semua rakyat Malaysia hanya menonton drama dan filem yang sama, suatu hari nanti.
Dia juga yakin ia mampu merapatkan hubungan antara kaum, memupuk perpaduan serta dapat mengeluarkan produk-produk artis tempatan hingga peringkat antarabangsa seperti Michelle Yeoh.
“Ada yang cakap susah nak dapat ramai pelakon bukan Melayu yang fasih berbahasa Kebangsaan. Namun, sebenarnya kepelbagaian bahasa itulah menunjukkan keindahan dan keunikan negara kita dan ia harus ditonjolkan dalam naskhah tempatan.
“Ambil contoh filem Ola Bola dan drama sitkom komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang dibarisi pelakon-pelakon berbilang kaum. Bukankah ia terbukti berkesan?” soalnya yang kini memfokuskan tumpuan kepada perniagaan produk alat solek SHERO keluaran sendiri.
SKRIP BAHASA ROJAK
Hakikatnya, Amber berkata, drama dan filem Melayu hari ini tidak begitu menumpukan skrip dalam bahasa Melayu, sebaliknya memilih penggunaan bahasa rojak antara Melayu dan Inggeris.
Jelasnya, terdapat juga beberapa filem Melayu yang dibarisi pelakon bukan Melayu yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam dialek yang betul.
Sebaliknya, katanya, menggunakan dialek percakapan orang Cina dan India seperti “Lu apa mau,” “lencai” dan sebagainya.
“Kalau kita buat uji bakat lakonan secara menyeluruh di setiap negeri dan pelosok kawasan, saya yakin, kita pasti akan dapat bertemu dengan ramai peserta berbakat baik dalam kalangan Melayu, Cina, India, Orang Asli bahkan Sabah dan Sarawak.
“Amat rugi apabila bakat-bakat ini tidak digilap bagi memastikan kelangsungan industri perfileman kita. Tengok sahaja dal;am saluran media sosial seperti TikTok, ramai pempengaruh yang hebat dan berbakat,” tambah Amber yang kelihatan jelita meskipun sudah mencecah 40an.
KURANG PELUANG
Disebabkan pelakon bukan Melayu kurang berpeluang untuk turut serta dalam industri perfileman tempatan, kata Amber, ada segelintir yang memilih berhijrah ke Singapura, Hong Kong atau Taiwan.
“Ada dalam kalangan mereka berjaya mencipta nama dan menjadi terkenal di negara luar. Sangat rugi sekiranya kelebihan dimiliki mereka tidak digunakan untuk mempromosi negara serta menjadikan mereka sebagai aset negara.
“Jadikan Michelle Yeoh sebagai contoh teladan dan pemangkin semangat untuk kita memperbaharui perjalanan industri perfileman tanah air.
“Kita mahu lahirkan lebih ramai artis seperti Michelle yang bukan sahaja menaikkan imej negara bahkan mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.