LANGKAWI: Malaysia memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan industri aeroangkasa dan marin apabila menyumbang lebih RM2 trilion terhadap kedua-dua sektor itu di peringkat global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri aeroangkasa negara dinilai kira-kira RM1.375 trilion pada 2021, manakala sektor marin pula merekodkan hampir RM800 bilion bagi tahun sama.
Beliau berkata, pencapaian membanggakan itu secara tidak langsung bakal merealisasikan hasrat negara untuk mencapai objektif dalam Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.
“Saya juga berharap Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) akan memperkukuh lagi Malaysia sebagai hab serantau untuk industri aeroangkasa dan maritim,” katanya ketika berucap sempena LIMA23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, hari ini.
LIMA23 yang berlangsung selama lima hari bermula semalam menyaksikan penyertaan 525 pempamer tempatan dan antarabangsa selain mampu menarik sehingga 300,000 pengunjung awam dan pelawat perdangangan.
Anwar berkata, LIMA adalah acara yang unik dan berbeza dengan penganjuran lain kerana pameran itu satu-satunya menggabungkan industri aeroangkasa dan maritim sehingga menjadi acara utama di Asia Pasifik.
“Sudah tentu, tarikan LIMA lebih daripada sekadar nilai sentimentalnya kerana dari tahun ke tahun pameran ini menjadi terkenal kerana menyatukan kedua-dua industri yang mempamer teknologi dan inovasi terkini selain membincangkan isu-isu berkaitan kedua-dua sektor itu.
“Malah, setelah bermula sebagai pameran yang fokus terhadap industri pertahanan semata-mata, kemasukan elemen komersial ke LIMA sejak edisi 2019 telah menjadikan acara dwi tahunan ini memiliki prospek yang lebih menarik,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri melakukan lawatan ke reruai di MIEC yang melibatkan pelbagai pameran aset pertahanan dan komersial dari negara-negara luar.
Pameran bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia itu dijangka mampu mencapai janji niaga sehingga RM18 bilion daripada sektor pertahanan dan komersial. –UTUSAN