PETALING JAYA: Ibu kepada pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay, Datin Habsah Simpon, 66, meninggal dunia sekitar pukul 8.30 pagi tadi akibat kanser limfoma tahap empat.
Khabar duka itu disahkan pengurus kepada pelakon tersebut, Nor Hazwani Jamil.
“Ibu Liyana disahkan menghidap kanser limfoma sekitar dua bulan lalu dan selepas dua minggu menerima rawatan, dia meninggal dunia. Dia sakit pun tak lama.
“Malam tadi keadaan ibu Liyana memang agak teruk apabila tahap oksidegnnya semakin rendah.
“Pihak keluarga membuat keputusan untuk Allahyarham ‘pergi’ dengan tenang dan dia meninggal dunia pagi tadi,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akan disolatkan di Masjid Al Iman Kemensah, Selangor dan dikebumikan sejurus kemudiannya.
Liyana menerusi Instagramnya malam tadi berkongsi foto bersama ibunya dan kata-kata menghargai setiap pengorbanan yang telah dilakukan wanita hebat itu.
“Kerjaya saya, hidup saya, masa yang ibu luangkan untuk saya, tunggu saya sehingga habis shooting dan apa saja yang ibu lakukan untuk buat saya gembira.
“Tidak pernah ada mak yang menemani anaknya belajar di luar negara berbulan-bulan, tinggalkan suami. Ayah pun sanggup benar dan lepaskan ibu hanya untuk menjaga saya.
“Saya sangat bertuah mempunyai ibu bapa yang hebat. Kerana itu kamu sangat istimewa, mama saya yang cantik,” ujarnya.
Untuk info, bapa Liyana, Datuk Jasmay Md Shah meninggal dunia pada 2021, akibat kanser paru-paru pada usia 68 tahun.