KLANG: Seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dengan dua anak lelakinya dan perbuatan rakaman video pornografi, tahun lalu.
Tertuduh berusia 33 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said.
Berdasarkan tiga pertuduhan, wanita yang mempunyai hubungan amanah sebagai ibu didakwa melakukan amang seksual ke atas dua anak lelaki berusia 14 dan 12 tahun dekat sebuah rumah di Puncak Alam, Kuala Selangor, kira-kira pukul 8 malam, sekitar November tahun lalu.
Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) dan (b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Ibu kepada lima anak itu turut didakwa mengarahkan pembuatan satu pornografi dalam bentuk video di sebuah hotel di Sungai Buloh antara 17 dan 18 Februari tahun lalu.
Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seskyen 5 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang enam sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Mohamad dan Nor Ayuni Jamri tidak menawarkan jaminan ke atas tertuduh kerana kesalahan itu melibatkan kanak-kanak dan amat serius.
“Perbuatan itu melibatkan ibu dengan anaknya sendiri yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jaminan tidak ditawarkan kerana bimbang tertuduh mengganggu mangsa dan melarikan diri,” katanya.
Syafeera kemudian memutuskan tertuduh tidak boleh diikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Jun depan.
Dalam pada itu, seorang lelaki turut didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang anak perempuan tertuduh berusia 15 tahun di hotel sama, Februari tahun lalu.
Penarik kereta berusia 22 tahun yang juga kenalan ibu mangsa bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan.
Tertuduh yang diwakili peguam Mohd. Azali Ibrahim dibenarkan ikat jamin RM15,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan selain tidak mengganggu mangsa.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan perbuatan jijik seorang ibu dipercayai melakukan amang seksual dengan anaknya terbongkar dan dicekup polis pada 2 Mei lalu.
Lebih menyedihkan, suspek dikatakan turut merakam aksi dengan remaja lelaki itu menerusi telefon bimbit. – UTUSAN