PETALING JAYA: Human Resources Development Corporation (HRD Corp) mengarahkan peguamnya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap sebuah portal bagi memastikan penarikan balik artikel berkenaan dan permohonan maaf daripada portal tersebut.
Menurut HRD Corp, tindakan itu diambil bagi mempertahan reputasi dan melindungi kepentingan agensi itu susulan satu artikel diterbitkan portal itu secara dalam talian hari ini.
Jelasnya, artikel tersebut mengandungi kenyataan palsu dan fitnah yang telah menyebabkan kerosakan serius terhadap reputasi dan integriti HRD Corp.
“Pihak portal tidak membuat sebarang percubaan menghubungi HRD Corp untuk membolehkan kami memberikan jawapan kepada kenyataan yang salah sebelum menerbitkan artikel yang mengelirukan ini.
“Ini mengecewakan dan tidak menggambarkan standard kewartawanan yang baik atau beretika daripada portal itu,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu susulan satu artikel yang diterbitkan sebuah portal berita dalam talian yang mendakwa Kementerian Sumber Manusia didakwa berdepan dengan satu lagi skandal melibatkan percanggahan proses perolehan kontrak bernilai sehingga ratusan juta setahun membabitkan pegawai penting dalam HRD.
Dakwaan mengenai HRD itu dipercayai berkaitan kontrak dan proses perolehan inisiatif Pasport Kemahiran.
HRD berkata, perkara-perkara yang dinyatakan dalam surat berkenaan telah dijawab dan diselesaikan pada Mesyuarat Lembaga Pengarah HRD Corp.
Selain itu pihaknya juga percaya bahawa kandungan surat itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan bukan untuk pendedahan awam dan penerbitan media.
“Di HRD Corp, kami sentiasa komited untuk mengekalkan standard etika, ketelusan dan integriti tertinggi. Kami mengambil berat terhadap dakwaan yang tidak betul dalam artikel terbitan portal itu.
“Kami tidak akan membiarkan dakwaan tidak berasas ini tidak dijawab dan kami akan mengambil tindakan yang perlu untuk mempertahankan reputasi dan melindungi kepentingan kami.
“HRD Corp percaya bahawa keadaan ini mungkin membimbangkan orang ramai dan pihak berkepentingan HRD Corp, dan kami ingin memberi jaminan kepada semua bahawa HRD Corp akan menyelesaikan perkara ini secepat mungkin.
“Sebarang perkembangan dalam perkara ini akan kami maklumkan dari semasa ke semasa. Kami menghargai sokongan berterusan daripada anda,” katanya. – UTUSAN