Henti bahas kalimah ‘Allah’ secara terbuka - Utusan Malaysia

Henti bahas kalimah ‘Allah’ secara terbuka

Kalimah Allah
ANWAR Ibrahim berucap pada Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turatih Islami Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Isu kalimah ‘Allah’ tidak wajar dibincang dan dibahaskan secara terbuka sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Bahkah, keputusan menarik balik semula rayuan terhadap penggunaan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan lain iaitu ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’ dibuat selepas isu tersebut dirujuk kepada mufti-mufti serta Raja-Raja Melayu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu tersebut sudah beberapa kali dijelaskan termasuk ketika di dalam Parlimen mengenai penggunaan kalimah tersebut yang dikhaskan kepada umat Islam di Semenanjung Malaysia.

“Maksudnya, umat Islam dalam Semenanjung Tanah Melayu sahaja boleh gunakan kalimah Allah untuk mengelakkan kekeliruan dan masalah dakyah agama lain, maka agama lain tidak diizinkan. Kemudian untuk Sabah dan Sarawak, ada sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat supaya tidak timbul kekeliruan. 

“(Kalimah Allah) boleh dibahas, tetapi dalam majlis tertutup, tidak patut mengelirukan umat. Tetapi, kita masih dituduh menggadaikan dan mengkhianati amanah rakyat,” katanya pada Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islami Selangor, hari ini.

Muzakarah dihadiri Mantan Mufti Agung Mesir, Profesor Dr. Ali Jum’ah serta Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa, Yaman, Habib Umar Hafidz.

Baru-baru ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.

Ini berikutan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan ulama perlu berani berani membuat teguran kepada kerajaan demi mengangkat martabat umat Islam di negara ini dan mengelak politik adu domba yang membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

“Kita lihat dan mendengar, umpamanya ketika mengikuti kuliah-kuliah di sini dan tentunya kupasan mereka (Ali Jum’ah dan Habib Umar), kita bertambah yakin kalau orang itu benar-benar berilmu (ulama), tidak membimbangkan dan tidak membawa politik adu domba ataupun perpecahan atau permusuhan.

“Tetapi kita akan terus lakukan seperti mendengar dari kedua-duanya habib dan mufti bahawa mereka akan seperti mana ulama-ulama lain mesti berani menegur dengan ikhlas dan kita insya-Allah akan mendengar.

“Jadi, kadang-kadang apa yang kita bicarakan ditafsirkan berbeza dan berkenaan dengan satu iktijahad dalam politik, tetapi saya yakin insya-Allah kita di landasan yang baik dan boleh angkat martabat umat di negara ini sesuai dengan cita-cita balad (negara) Madani,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya