Harga ikan berterusan meningkat - Utusan Malaysia

Harga ikan berterusan meningkat

MUHAMMAD Nazaruddin Alwi menunjukkan ikan tuna dan ikan pari masing-masing dijual di gerainya dekat Pangkalan Nelayan Sementa, Kapar di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Peniaga mendakwa harga ikan terus me­ningkat berikutan pemotongan subsidi diesel dilaksanakan pada Januari lalu dan ditambah dengan hasil laut yang semakin berkura­ngan akhir-akhir ini.

Malah, ikan yang didaratkan sepanjang bulan Syawal ini juga dikatakan bersaiz kecil berban­ding kebiasaan menyebabkan sambutan terhadap hasil laut itu tidak memberangsangkan.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar-pasar nelayan sekitar daerah ini dan Klang mendapati, rata-rata harga sumber makanan itu berubah dalam tempoh hampir dua bulan sejak awal April lalu dan sebahagiannya menunjukkan peningkatan ketara.

Malah ada peniaga yang tidak lagi mengambil jenis ikan tertentu seperti ikan merah dan jenahak berikutan harganya naik mendadak kerana dikhuatiri pelanggan tidak sanggup membelinya.

Seorang peniaga, Haslinda Mohd. Nor, 39, berkata, sehingga kini harga ikan didakwa tidak seimbang berbanding tahun lalu apabila angkanya sejak Januari hingga Mei secara umumnya te­rus meningkat.

Menurutnya, masih ada sebahagian jenis yang turun tetapi tidak ketara iaitu sekitar 50 sen.

“Saya tak lagi jual ikan merah dan jenahak kerana harga dari pembekal cecah RM38 sekilogram sedangkan sebelum hari raya, itulah harga yang dijual. Berapa pula harga ikan itu boleh dijual?

“Kalau ikan besar seperti merah dan jenahak memang tak jual kerana kalau harga cecah RM42 hingga RM45, pelanggan tak sanggup beli,” katanya ketika ditemui di Pasar Nelayan Sungai Yu.

Seorang lagi peniaga, Muhammad Hanafi Marzuki, 32, meluahkan saiz ikan pada akhir-akhir ini semakin kecil, walaupun sebahagiannya dijual murah.

“Ikan sardin dan pelaling yang dipanggil sebagai ikan rakyat, langsung tak jadi ‘rakyat’. Harga kedua-dua ikan itu menyamai harga ikan kembung. Masih tak dijual kerana harganya mahal dan ketika ini tangkapan ikan tersebut sangat kurang.

“Banyak nelayan memberitahu hasil tangkapan memang kurang. Tak pasti sama ada musim ikan kurang atau faktor lain,” jelasnya.

Di Pengkalan Nelayan Sementa, Klang pula, peniaga Muhammad Nazaruddin Alwi, 37, mengakui hasil laut bersaiz kecil dan terdapat beberapa jenis ikan tidak dapat dijual berikutan harganya terlalu tinggi.

“Sejak dibuka se­minggu selepas raya, tak banyak hasil laut diperoleh nelayan terutama yang mencari ikan di kawasan berhampiran pantai. Ada yang dapat, saiz kecil sahaja seperti kembung.

“Baru-baru ini kecoh di sini apabila ada dakwaan sekumpulan nelayan bot besar dari tempat lain masuk ke perairan persisiran pantai dan menggunakan pukat harimau menangkap ikan, habis dengan batu karang, kayu-kayu semua dikaut,” dakwanya.

Bagi peniaga yang menjual terus hasil tangkapan nelayan di Pasar Sungai Sembilang, Jeram, Ismail Johari memberitahu, harga bagi ikan diambil terus tidak banyak berubah dan kurang menerima kesan daripada kenaikan di pasar-pasar besar.

“Harga ikan bagi jualan terus daripada nelayan masih rendah dan boleh dikatakan paling murah berbanding pasar lain. Harga ikan seperti gelama, selar, sembilang dan pari dijual antara RM6 hingga RM17 sekilogram.

“Bagi hasil laut lain seperti jenahak, merah, ketam dan udang pula dijual sekitar RM18 hingga RM43 sekilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya