Hanya perjumpaan biasa, tiada kaitan politik - Razman - Utusan Malaysia

Hanya perjumpaan biasa, tiada kaitan politik – Razman

RAZMAN Zakaria (depan, tiga dari kiri) dalam sidang akhbar pada Persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria menegaskan pertemuan beliau dengan wakil rakyat kerajaan hanya perjumpaan biasa dan tiada kaitan dengan khabar angin wujud usaha untuk menggantikan kerajaan negeri.

Menurutnya, perjumpaan dengan wakil rakyat kerajaan sudah menjadi kebiasaan untuk beliau bertukar fikiran dan berbincang mengenai keadaan negeri dan politik semasa.

Beliau berkata, perjumpaan dengan wakil rakyat kerajaan itu bukan pertemuan rasmi sebaliknya sekadar berjumpa di majlis rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.

“Memang menjadi kebiasaan saya berjumpa dengan beberapa Ahli Dewan, cuma bertukar-tukar fikiran dan berbincang mengenai keadaan negeri dan keadaan politik semasa, itu biasa dan lebih daripada empat orang pun. Ia perjumpaan pada majlis jamuan, perkara biasa apabila berjumpa kita sembang.

“Kalau Menteri Besar kata kerajaan negeri kukuh, dia tak perlu risau dan sekurang-kurangnya rakyat tahu usaha UMNO untuk mengukuhkan kerajaan yang ada, sehingga (bila) wallahuaklam, tapi dia tak perlu risau,” katanya dalam sidang akhbar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mengenai kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, kenyataan itu menjejaskan kestabilan politik untuk menjamin pelabur masuk, Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, pertukaran kerajaan adalah perkara biasa.

“Sebelum ini pun sudah berlaku pertukaran kerajaan, di Dewan kita sendiri pun berlaku pertukaran. Malah pada penggal lepas pun berlaku pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali. Apakah dahulu kerajaan tidak memikirkan soal kestabilan dan kemasukan pelabur?” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mempersoalkan pihak mana yang mula-mula membuat spekulasi mengenai gerakan menggantikan kerajaan negeri yang kononnya melibatkan empat wakil rakyat.

Menurutnya, sedangkan PN tidak terlibat dalam apa yang dikatakan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan negeri atau membeli wakil rakyat kerajaan.

“Tak timbul soal PN nak membeli (wakil rakyat kerajaan) kerana kami tak ada duit, akaun dibekukan.

“Jangan salah anggap, kami pun berkawan bukan sahaja dalam kalangan kami sahaja tetapi dengan wakil rakyat kerajaan, seperti dalam sesi libat urus, saya duduk sebelah ADUN DAP, tiada masalah malah saya juga berkawan dengan wakil rakyat UMNO, kalau berjumpa kami berbual,” katanya.

Akhbar ini kelmarin menyiarkan dakwaan Razman bertemu dengan beberapa wakil rakyat kerajaan ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri.

Namun Razman tidak mendedahkan jumlah dan nama wakil rakyat terlibat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya