ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan dakwaan kononnya hampir sejuta rakyat di Kedah terjejas dengan masalah bekalan air semasa musim perayaan baru-baru ini merupakan penipuan semata-mata.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) berkata, pihak yang melakukan penipuan tersebut seharusnya insaf kerana memberikan gambaran keterlaluan.
Menurutnya, taklimat diberikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) kepadanya hari ini memaklumkan cuma 7,222 akaun pengguna sahaja yang terjejas berbanding keseluruhan 645,041 akaun.
“Katakan setiap akaun terjejas itu melibatkan sebuah keluarga terdiri daripada lima individu. Maka 7,000 didarabkan dengan lima baru 35,000 orang. Kalau setiap keluarga yang terjejas itu terdiri daripada 10 orang pula, jumlah keseluruhan bagi 7,000 akaun terjejas hanya 70,000 orang.
“Jadi ‘mai’ mana yang kata sampai sejuta orang terjejas? Mereka yang buat dakwaan itu sila bertaubat kerana memberi gambaran salah kepada situasi di negeri Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Mengulas serangan dilancarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) terhadapnya dalam isu pembinaan lima loji rawatan air (LRA) yang didakwa berjalan lembab serta tidak mencapai tahap kemajuan ditetapkan, Muhammad Sanusi turut menafikan perkara itu.
“Contohnya untuk LRA Pelubang yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB), kalau ikut jadual kontrak mereka kena capai 12.41 peratus tahap siap pada 30 April lalu. Tetapi kemajuan sebenar yang dicapai adalah 13.43 iaitu 1.02 peratus melebihi kadar ditetapkan.
“Begitu juga dengan LRA-LRA lain yang semuanya berada di landasan tepat, kecuali LRA Sungai Limau yang cuma lewat 0.41 peratus berbanding jadual asal. Sepatutnya mereka cecah 11.39 peratus pada tarikh sama tetapi yang dicapai cuma 10.98 dan kita ambil tindakan dengan memanggil kontraktor untuk segerakan apa yang patut,” katanya.
Menjawab kritikan terhadapnya yang didakwa asyik menyalahkan orang lain berhubung isu bekalan air di Kedah, Muhammad Sanusi berkata beliau tidak mempunyai pilihan selain daripada menyalahkan PH kerana gabungan tersebut yang menangguhkan pembinaan lima LRA tersebut pada 2018 kononnya bagi melakukan kajian semula terhadap kelulusan terdahulu.
“Mereka tangguhkan selama hampir dua tahun bagi membolehkan konsultan membuat kajian baharu tetapi pada akhirnya, hasil kajian menunjukkan jumlah perbelanjaan sama seperti sebelumnya dan tender pembinaan lima LRA itu hanya dikeluarkan pada 2020.
“Kalaulah penangguhan itu tidak dibuat, lima LRA itu sudah siap. Mereka kata Sanusi asyik salahkan orang lain dan kerajaan terdahulu tetapi kalau mereka betul-betul bersalah, tak bolehlah kita kata mereka tak salah,” katanya. –UTUSAN