Guan Eng, 9 ADUN DAP nafi terlibat desakan singkir Kon Yeow sebagai Ketua Menteri - Utusan Malaysia

Guan Eng, 9 ADUN DAP nafi terlibat desakan singkir Kon Yeow sebagai Ketua Menteri

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP menafikan terlibat dalam mana-mana gerakan untuk menyingkirkan Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kesemua mereka merupakan ADUN Pulau Pinang biasa yang tidak memegang sebarang jawatan kerajaan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sama ada sebagai Ketua Menteri, ahli EXCO atau Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Mereka diketuai Lim Guan Eng yang juga ADUN Air Putih; Lim Siew Khim (Sungai Pinang); Jason H’ng Mooi Lye (Jawi); Heng Lee Lee (Berapit); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam); Ong Ah Teong (Batu Lancang); Daniel Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota); M. Satees (Bagan Dalam); Syerleena Abdul Rashid (Seri Delima) dan Chris Lee Chun Kit (Pulau Tikus).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, 10 ADUN berkenaan menegaskan dan mengesahkan, mereka tidak pernah bercakap dengan portal berita yang menerbitkan artikel berkenaan desakan menukar Kon Yeow sebagai Ketua Menteri berkenaan.

Malah, mereka turut menyifatkan artikel berkenaan berniat jahat dan tidak adil apabila tidak menyebut siapa tiga ADUN yang dikaitkan dengan desakan tersebut sekali gus meletakkan kesemua mereka di bawah syak wasangka awam yang tidak perlu.

“Untuk mengaitkan laporan itu kepada mana-mana daripada kami (sebagai tiga ADUN dalam laporan portal berita terbabit) adalah tidak benar dan palsu.

“Oleh itu, kami tidak dapat memastikan dari mana portal berita itu mendapat maklumat mereka yang tidak berasas ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pencalonan untuk kerusi dan jawatan ditentukan oleh parti dan mereka akan menghormati keputusan parti.

“Kami tidak akan ditarik ke dalam sebarang percubaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memecahbelahkan dan mengalih perhatian kami daripada objektif kami untuk berkhidmat kepada rakyat dan memastikan masa depan Pulau Pinang bertambah baik.

“Memenangi pilihan raya negeri akan datang adalah penting untuk memakmurkan Pulau Pinang dan mengukuhkan kestabilan politik serta mengukuhkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya untuk lima tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu awal hari ini, sebuah portal berita melaporkan terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat Kon Yeow daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Guan Eng yang juga Pengerusi DAP kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

Laporan portal berita bertajuk “Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P. Pinang” itu turut menyebut pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan diadakan semalam.

Dalam reaksi terhadap laporan portal itu, Kon Yeow bagaimanapun berkata, beliau tidak menyedari wujudnya desakan itu malah tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran beliau sepanjang menjadi Ketua Menteri selama ini.

Mengulas isu sama, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut menyifatkan desakan supaya Guan Eng kembali menerajui Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai khabar angin dan DAP tidak pernah menerima sebarang memorandum atau surat daripada mana-mana ADUN mengenai perkara tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya