KUBANG PASU: Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan beliau kini tidak lagi mengetuai Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai Pengerusi kerana gerakan berkenaan diakuinya sudah tidak berfungsi.
Bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu berkata, GTA juga tidak pernah berdaftar selama ini dan beliau kini bergerak melalui platform Proklamasi Orang Melayu serta tidak terlibat dengan mana-mana parti politik di negara ini.
Kata beliau, GTA tidak dapat diteruskan kerana gerakan itu bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tewas di kesemua kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November lalu.
“Itu lama (pengerusi), (sekarang) tak dak apa dah. GTA tak menjadi, tak dapat tolong kita fasal dia parti. Kita dapati kalau sebagai parti kita tak boleh menang. Kita dah lawan dalam PRU15, GTA dan Pejuang kalah 125 kerusi. Jadi nampak sebagai parti kita tak boleh menang.
“Kalau kita nak menang, nak perjuang nasib orang Melayu, kita kena dapat sokongan orang Melayu. Sebab itu saya tak kira parti dah, kita bukan ahli parti itu atau parti ini, tidak. Saya cuma orang Melayu yang sedar berkenaan dengan masalah orang Melayu yang berpendapat bahawa kalau orang Melayu nak selamat diri mereka, mereka mesti bersatu,” katanya.
Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi dan Kubang Pasu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pertubuhan Prihatin Kubang Pasu di Kampung Naga, di sini, malam tadi.
Pada awal Februari lalu, Dr. Mahathir bersama 12 lagi ahli yang lain mengumumkan keluar daripada Pejuang, namun ketika itu mengesahkan masih terlibat dalam arena politik sebagai Pengerusi GTA.
Ketika ditanya platform sebenar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Dr. Mahathir berkata, beliau mempunyai tugas untuk menyedarkan orang Melayu bahawa jika mereka tidak bersatu dan tidak mengenepikan parti, maka akan hilang kedudukan di Malaysia.
“Sekarang ini kita miskin dan akan jadi lebih miskin kalau tak ada kuasa nak selamatkan orang Melayu. Saya sokong semua orang Melayu (pada PRN nanti), bukan parti. Dulu pun saya perjuangkan untuk Melayu, saya sertai UMNO sebab Melayu. Saya (masuk) Bersatu pun kerana Melayu. Perjuangan saya mudah sahaja, saya nak selamatkan orang Melayu,” katanya.
Mengulas gelaran ‘Ketua Umum Perikatan Nasional’ yang diberikan kepadanya, Dr. Mahathir berkata, mereka hanya meminta orang yang bersetuju dengan Proklamasi Orang Melayu untuk menurunkan tandatangan kerana gerakan itu bukanlah bersifat parti tetapi atas dasar kaum tersebut.
“(Kita berbincang) dengan semua orang yang menyertai proklamasi ini. Ramai orang yang menyertainya adalah orang yang tiada parti, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ada dalam (kalangan ahli) parti politik, semua kita terima. Saya bergambar dengan Pas, saya juga bergambar dengan (Tan Sri) Annuar Musa, dengan semua orang. Saya kira orang Melayu, saya bukan kira parti,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir terus mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan beliau memiliki sejumlah wang seperti dinyatakan dan secara sinis akan memberi separuh kepada Ahli Parlimen Tambun itu jika mampu membuktikan kekayaan didakwanya. –UTUSAN