GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan mengesyorkan operasi pembenihan awan gelombang kedua di Pulau Pinang dalam masa terdekat kerana rizab air mentah Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di sini, masih di bawah paras 50 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. K. Pathmanathan berkata, operasi pembenihan awan gelombang pertama telah dijalankan pada 2 hingga 4 Mei lalu, namun jumlah taburan hujan yang dicetuskan belum dapat memenuhi kedua-dua empangan itu.
Jelas beliau, sepanjang tempoh tiga hari itu, PBAPP merekodkan taburan hujan 8.5 mm di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan taburan hujan 19.5 mm di kawasan tadahan air Empangan Teluk Bahang.
”Terdapat hujan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang pada hari pembenihan awan dijalankan, namun lebih banyak hujan diperlukan untuk mengisi semula empangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, setakat 7 Mei lalu, Empangan Air Itam merekodkan kapasiti pada paras 41.5 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang pada paras 48.4 peratus.
Katanya, dengan kemungkinan berlakunya fenomena El Nino (panas dan kering) tahun ini, adalah mustahak untuk melakukan segala yang boleh bagi mengelakkan kedua-dua empangan kering sebelum tiba musim hujan akan datang.
Tambahnya, dalam tempoh 1 Januari hingga 7 Mei lalu, kapasiti efektif Empangan Air Itam menyusut sebanyak 41 peratus, manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang menyusut sebanyak 15.6 peratus.
”Salah satu faktor utama yang menyebabkan penyusutan pantas rizab empangan tahun ini kerana jumlah hujan yang rendah sejak 1 Januari lalu.
”Faktor lain yang juga penting ialah penggunaan air yang tinggi terutamanya penggunaan air domestik yang menyumbang 61.6 peratus daripada jumlah penggunaan air di Pulau Pinang pada tahun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, PBAPP merayu kepada semua pengguna air domestik di Pulau Pinang supaya mengurangkan penggunaan air di rumah dengan segera. – UTUSAN