Garang demi tugas bukan suka-suka

Garang demi tugas bukan suka-suka

JAMALIAH Jauhari (kanan) bersama Mohd. Jaafar Komari bergambar selepas menerima anugerah masing-masing di Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tokoh Guru Wanita di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) 2023, Jamaliah Jauhari menganggap sikap garang dirinya semasa melaksanakan tugas sebagai Nazir sekolah agama adalah demi memastikan tanggungjawab mendidik anak bangsa dilakukan dengan penuh kasih sayang dan amanah.

Menurut Jamaliah, 64, yang berpengalaman menjadi Pegawai Perkhidmatan Pelajaran Bidang Pendidikan Islam bermula tahun 1983, perkara paling penting yang selalu ditekankan kepada guru besar dan pengetua adalah menjaga kewangan sekolah dengan telus bagi memastikan aspek lain turut ditadbir dengan sempurna.

“Saya pernah menjadi pegawai, pengetua dan Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Naziran dan saya garang pada tempatnya bukan tanpa sebab.

“Semasa menjadi Nazir Sekolah saya mahu memastikan pihak yang mentadbir sekolah bekerja dengan baik kerana kita ingin mendidik pelajar-pelajar menjadi insan berilmu dan berakhlak mulia.

“Sebagai seorang lulusan Universiti Malaya saya lebih kepada menegur guru besar dan pengetua tentang aspek pentadbiran dan pengurusan kewangan. Saya tidak arif dengan pendidikan Islam dan saya tidak mencampuri aspek tersebut sepanjang aktif dalam bidang pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima Anugerah Tokoh Guru Perempuan Sempena Sambutan Hari Guru Pendidikan Islam JAIS 2023, di sini hari ini.

Jamaliah yang berasal dari Klang dikenali sebagai tokoh yang memperkasa asas kewangan sekolah agama di negeri ini memberitahu, sikap garang dirinya adalah dengan niat untuk memastikan pentadbiran sekolah berasaskan pendidikan Islam berada di landasan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tanpa kompromi.

Sementara itu, Tokoh Guru Lelaki, Mohd. Jaafar Komari, 62, berkata, untuk menjadi seorang guru yang baik seseorang pendidik mestilah bersikap ikhlas dalam mendidik pelajar-pelajar mereka.

“Biarlah apa yang kita ajar datang dari hati kita. Ini bagi memastikan ilmu yang diajar dapat diterima oleh murid-murid kita. Saya gembira apabila apa yang kita ajar difahami dan diamalkan oleh murid saya. Ia satu kepuasan kepada saya,” ujarnya.

Mohd. Jaafar yang menjadi pendidik bermula dari tahun 1984 hingga 1991 sebelum menjadi pentadbir bidang pendidikan di JAIS berkata, sebagai seorang guru perkara paling menggembirakan beliau apabila pada usia sekarang dia sering disantuni bekas pelajarnya yang telah berjaya dalam hidup mereka.

“Hati saya gembira apabila ada pelajar yang menemui saya dan mengaku pernah menjadi murid saya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya