Gambit TUDM tanda LIMA23 bermula

Gambit TUDM tanda LIMA23 bermula

Pesawat milik TUDM akan mengadakan latihan penerbangan taktikal secara rendah di sekitar ruang udara Putrajaya dan Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kegagahan pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM, Hornet F/A18D dan Hawk 108/208 melintasi ruang udara Langkawi menandakan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) bermula secara rasmi hari ini.

Aksi pembukaan yang sangat menakjubkan daripada pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu membuka tirai pameran berprestij tersebut selama lima hari sehingga 27 Mei ini.

Dalam aksi pembukaan itu, beberapa aksi aerobatik dan formasi udara dipersembahkan juruterbang TUDM di hadapan delegasi tempatan dan asing yang memenuhi landasan terbang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC).

Majlis berkenaan disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

MOHAMAD Hasan bersama Anthony Loke menyaksikan gimik pembukaan LIMA23 di MIEC, Padang Matsirat di Langkawi. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN

Penganjuran LIMA23 bagi edisi ke-16 menghimpunkan seramai 525 pempamer dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain Singapura, Turkiye dan Malaysia sendiri.

LIMA23 dijangka menarik kehadiran 45,000 pelawat perdagangan serta 250,000 pengunjung awam yang melibatkan 119 pesawat dan 40 kapal dari dalam dan luar negara bagi segmen maritim di Resort World Langkawi (RWL).

Pameran bertemakan Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia itu turut akan mempersembahkan lima pasukan aerobatik terbaik dunia iaitu Rusia, UAE, Indonesia, China dan Korea Selatan.

Sementara itu, Mohamad berkata, Malaysia komited untuk meningkatkan keupayaan dalam industri pertahanan melalui kerjasama serantau.

Katanya, ianya penting ke arah merealisasikan matlamat negara seperti ditetapkan dalam pelan tindakan industri pertahanan dan keselamatan yang bakal diwujudkan tidak lama lagi.

“Pelan tindakan ini, termasuk visi kita untuk Malaysia, adalah bagi menyumbang ke arah keselamatan global melalui pengeluaran perkakasan dan teknologi,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan resepsi LIMA23.

Mohamad berkata, penganjuran LIMA yang terbesar setakat ini memberikan keterujaan kepadanya untuk menyaksikan bagaimana kerjasama dapat dijalin dalam menjaga keselamatan serantau.

“Dalam tempoh lima hari ini, saya dan rakan sejawat akan mengadakan mesyuarat dua hala yang merupakan satu pencapaian positif untuk mempromosi masa depan lebih kukuh, stabil serta mampan. Bersama-sama, kita mampu mengukuhkan lagi kerjasama pihak berkepentingan dalam industri pertahanan,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata, LIMA23 akan menyediakan satu daripada platform antarabangsa terbaik untuk memberikan nafas baharu kepada industri maritim dan aeroangkasa yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata LIMA23 adalah platform baik untuk mengembangkan potensi peluang perniagaan dalam industri dengan sinergi yang efektif antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan serta agensi dan pihak berkepentingan yang berkaitan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya