Gadis dilarikan teman lelaki diselamatkan di stor besi buruk

Gadis dilarikan teman lelaki diselamatkan di stor besi buruk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menyelamatkan seorang gadis berusia 17 tahun selepas dilarikan teman lelakinya sejak 11 bulan lalu dalam serbuan di sebuah rumah di Banting, dekat sini semalam.

Sepanjang tempoh itu, mangsa dipercayai tinggal bersama suspek di sebuah stor besi buruk di sekitar Banting sejak dilarikan suspek pada Julai tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, hasil maklumat risikan, suspek berusia 23 tahun itu ditahan di sebuah kampung di sekitar Banting.

Kata beliau, berikutan penahanan itu, polis menemukan mangsa di Jalan Bukit Perah, Kampung Olak Lempit, Banting.

“Siasatan awal mempercayai suspek yang bercinta dengan mangsa sejak 2014 mengesyaki gadis itu mempunyai teman lelaki lain.

“Mangsa dipercayai memang mengikut suspek, namun kes disiasat mengikut Seksyen 52 Akta Kanak-kanak 2001 kerana mangsa (masih bawah umur kerana) berusia 17 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Mohamad Fakhrudin, sepanjang dilaporkan hilang, mangsa tidak pernah menghubungi keluarganya di Desa Mentari, di sini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya berlaku perlakuan seksual.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan. Suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai besi buruk tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Katanya, suspek direman dua hari sejak semalam untuk membantu siasatan yang turut dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya