Floor 88 janji persembahan terbaik, tak sia-sia peluang - Utusan Malaysia

Floor 88 janji persembahan terbaik, tak sia-sia peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Floor 88 berjanji untuk memberi persembahan terbaik dalam konsert Dream Festival Collaboration Vol. 2 sementelah kolaborasi dengan Wali Band adalah peluang yang mungkin tidak akan berulang kembali.

Vokalisnya, Ayie berkata, peluang berkongsi pentas itu juga diharap dapat membuka lebih ruang untuk mereka menembusi pasaran antarabangsa terutama Indonesia.

“Kami menganggap peluang ini sebagai penghormatan terbesar apabila dapat berkolaborasi dengan kumpulan popular dari negara jiran yang pernah mencipta fenomena tersendiri sedikit masa lalu.

“Floor 88 sangat teruja dapat berkongsi pentas dengan Wali Band kerana lagu mereka sering kami dengar sejak di alam persekolahan. Malah, kami juga menyimpan impian untuk menembusi pasaran Indonesia dengan lebih luas,” katanya.

Tambah Ayie, Dream Festival Collaboration Vol. 2 – Wali Band dan Floor 88 di Zepp Kuala Lumpur Sabtu ini bakal mengimbau kenangan menerusi himpunan lagu yang pastinya menghiburkan peminat kedua-dua kumpulan.

Selain Ayie, Floor 88 turut dibarisi Eric Fuzi (keyboard), Achoi (gitar), Falique (bass), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua).

Menyentuh soal persiapan konsert, pemain keyboard kumpulan tersebut, Eric Fuzi berkata, mereka sudah memulakan latihan, termasuk memastikan proses susunan lagu disempurnakan sebaik mungkin kerana mahu menampilkan sesuatu yang segar kepada peminat.

Katanya lagi, meskipun masih mengekalkan susunan asal lagu, mereka bertekad menampilkan sedikit kelainan bagi memastikan pelaburan dan sokongan padu peminat berbaloi.

“Kami berusaha memberikan persembahan yang lebih istimewa untuk konsert ini supaya peminat dapat melihat sesuatu yang berbaloi. Kami tidak mahu menampilkan persembahan yang pernah ditonton peminat sebelum ini.

“Jadi, kami cuba tampilkan perbezaan pada susunan muzik, termasuk pilihan lagu dengan menyenaraikan beberapa lagu yang jarang-jarang kami persembahkan untuk memastikan peminat berpuas hati,” katanya.

Demi memastikan mereka tampil maksimum pada konsert tersebut, Eric berkata, Floor 88 begitu menitikberatkan persediaan dari setiap sudut, termasuk persiapan fizikal dan mental, terutama aspek kesihatan.

“Paling utama, Ayie sebagai vokalis perlu mendapat mendapat rehat yang cukup supaya kualiti vokalnya terjaga. Untuk memberikan yang terbaik, Ayie perlukan tidur yang cukup supaya vokalnya tidak ‘koyak’.

“Jika dilihat, Ayie sangat aktif setiap kali beraksi di atas pentas dan karakternya itu antara yang menjadi kekuatan Floor 88. Kami juga sangat menitikberatkan penjagaan stamina kerana jika stamina kurang, ia akan menjejaskan kualiti persembahan Floor 88.

“Itu sangat penting kerana kepuasan peminat adalah keutamaan kami,” katanya yang mengakui sudah tidak sabar menanti kedatangan 20 Mei untuk beraksi bersama band yang mereka hormati dan kagumi..

Tiket untuk menyaksikan Dream Festival Collaboration Vol. 2 – Wali Band dan Floor 88 dijual pada harga RM198 (Festival), RM298 (Kategori 2), RM358 (Kategori 1) dan RM5,088 (VIP Box) boleh diperoleh menerusi laman: ticket2u.com.my.

Bagi ahli Dreamers Club Telegram, harga istimewa ditawarkan bagi sepasang tiket iaitu RM300 (Festival) menerusi Couple Package. Layari laman Instagram: @dreamfestworld dan ikuti beberapa langkah untuk mendaftar sebagai ahli kelab Dreamers bagi mendapatkan pelbagai promosi menarik serta perkembangan terkini acara anjuran DreamFest di Malaysia serta Indonesia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya