Fitnah: Pengurusan kes KJ - Jamal 26 Jun

Fitnah: Pengurusan kes KJ – Jamal 26 Jun

KHAIRY Jamaludin memfailkan saman menuntut ganti rugi melebihi RM1 juta atas dakwaan Jamal Md. Yunos telah memfitnahnya pada satu sidang media di PAU 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 26 Jun ini untuk pengurusan kes lanjutan kes saman fitnah bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berhubung isu pengundi hantu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Tarikh tersebut ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nik Nur Amalina Mat Zaidan pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian.

Pada 24 Mei lalu, Khairy memfailkan saman menuntut ganti rugi melebihi RM1 juta atas dakwaan Jamal telah memfitnahnya pada satu sidang media di PAU 2022 yang diadakan pada 14 Januari lalu.

Menurut penyataan tuntutannya, bekas Menteri Kesihatan itu mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Khairy telah membuat kenyataan jahat terhadap UMNO berhubung isu pengundi hantu pada pengundian parti itu.

Jamal juga telah memuat naik rakaman sidang media itu di akaun Facebook `DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ dan TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos’ bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya”.

Khairy selaku plaintif menyatakan, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu telah merujuk kepadanya dan turut menyebut namanya secara jelas.

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lainnya menggambarkan bahawa plaintif adalah seorang pemimpin yang tiada integriti, tidak mempunyai kredibiliti, melakukan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi serta tidak setia pada parti dan pemimpin parti.

Oleh itu, Khairy memohon perintah mahkamah menuntut Jamal membuat dan menerbitkan permohonan maaf di laman Facebook di bawah nama “DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)”, akaun media sosial TikTok “jamal_yunos” dan akhbar-akahbar utama.

Plaintif juga memohon perintah agar Jamal memadamkan penerbitan berbaur fitnah itu daripada akaun-akaun laman sosial terbabit.

Khairy turut memohon ganti rugi khas sebanyak RM1 juta dan ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah. 

Turut dimohon ialah faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya