Fast X (2023): Simpang kenangan dan ketakutan
RASANYA ketika zaman sekolah, bila diajak untuk memberi gambaran semaju apakah masa depan, kita selalu memberi jawapan klise seperti kereta terbang.
Tidak ada yang salah, kerana begitulah imaginasi berkembang. Kadangkala dalam membentuk imaginasi, kita harus menunda hukum logik.
Kereta terbang mungkin hanya sebuah imaginasi pada dua dekad lalu, namun ketika Malaysia memperkenalkan kereta terbang pertamanya yang dipanggil Super Drone pada 2019, imaginasi tadi mula digelar revolusi.
Beberapa filem hadir menyuguhkan, atau lebih tepat mengisi acuan imaginasi kebanyakan kita yang mengaitkan kecanggihan automotif sebagai kayu ukur kemodenan. Beberapa filem hadir mengangkat nuansa ini.
Lambakan filem kereta lumba di Hollywood mercup seperti Gone in 60 Seconds (2000), Speed Racer (2008), francais Transformers (2007-kini). Tidak ketinggalan siri filem animasi Cars (2006-2017) terbitan Disney dan Pixar.
Tempias juga mengena kepada pembikin filem Malaysia hingga lahirnya filem Impak Maksima, Evolusi KL Drift, Marabahaya Underground dan kampung Drift (sekadar menyebutkan beberapa).
Namun begitu, penulis berpendapat, filem francais Fast and Furious tetap menjadi ‘staple’ yang membekas sub genre aksi ini sejak 2001.
Sudah tentu kehadiran Fast X menjadi antara filem yang ditunggu dan diramal pecah panggung untuk tahun 2023.
TAKUT ITU PERKARA BIASA
Premis Fast X, seperti siri-siri awalnya agak mudah. Namun tidak bermakna ia murah. Fast X meneruskan nilai mahal harga sebuah kekeluargaan.
Cuma kali ini penulis berpendapat pertalian antara ayah dan anak lebih menonjol sehingga mungkin mereka yang tidak lagi dapat merasakan kasih-sayang seorang bapa akan mengalirkan air mata.
Dominic Toretto atau Dom (lakonan Vin Diesel) mengajar anaknya memandu kereta di act satu filem ini. Dom bertanya kepada anaknya adakah dia takut? Anaknya menggeleng mengatakan tidak. Dia mahu seperti bapanya, tidak takut kepada apapun.
“Tak mengapa untuk takut. Semua orang merasakannya,” balas Dom.
Dom di sebalik figura bapa yang sasa dan melawan kelajuan, rupanya tidak mahu anaknya dibesarkan dengan stigma lelaki tidak boleh nangis untuk membuktikan kejantanan.
Dom mengajarkan anaknya untuk jujur kepada perasaan. Ia sekaligus menunjukkan Fast X bersedia memecah bendung nilai maskuliniti tradisional melalui layar lebar, sesuatu yang jarang dapat kita saksikan dalam filem- filem aksi. Pujian besar harus diberikan kepada penulis lakon layar yang cuba mela piskan adegan penuh emosi di sebalik kelarai aksi.
MENYUSUR JALAN KENANGAN
Secara keseluruhan, berbanding siri-siri sebelumnya, Fast X boleh dikatakan pada tahap yang okey sahaja. Namun demikian, Fast X masih tepu dengan aksi perlumbaan, pengeboman, pergaduhan, letupan, serta kereta yang berterbangan melawan hukum graviti.
Sama seperti imaginasi kereta terbang kita di awal-awal tadi. Lakonan Jason Momoa sebagai Dante, antagonis yang eksentrik juga wajar diberikan kredit. Percubaan Fast X menampilkan Dante sebagai ‘Joker’ versi mereka sangat menjadi. Selain menampilkan sisi psikotik dan kejam, Jason bijak menghidangkan katarsis komedi melalui lakonannya, sekali gus memberi warna kepada filem ini.
Sesekali penulis merasakan watak-watak sampingan terlalu banyak, termasuklah penampilan istimewa oleh John Cena dan aktres pemenang Oscar, Brie Larson. Namun ia tidaklah sampai merencatkan perjalanan cerita. Sebagai filem yang dikatakan ‘siri akhir’, Fast X juga tidak terlepas daripada memberikan homaj kepada francais Fast and Furious secara keseluruhan.
Ada rujukan dialog dan potret watak Brian lakonan mendiang Paul Walker juga dapat dilihat di satu babak.
Nostalgia terasa di mana-mana, seolah-olah penonton dibawa menaiki kereta sport melewati lebuh-lebuh kenangan tanpa perhentian.
Fast X wajar ditonton oleh semua peminat filem aksi. Bagi pengikut rapat francais ini, jangan lupa untuk tonton sehingga babak pasca-kredit akhir dan anda akan berterima kasih kepada saya nanti.