Fasa pertama LRT Pulau Pinang dijangka dimulakan hujung tahun ini - Utusan Malaysia

Fasa pertama LRT Pulau Pinang dijangka dimulakan hujung tahun ini

ANYHONY Loke dan Chow Kon Yeow ketika meninjau salah satu lokasi cadangan tapak LRT di Sia Boey, George Town, Pulau Pinang hari ini. - Pix: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Fasa pertama projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dijangka dimulakan hujung tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keseluruhan fasa pertama projek LRT itu yang akan menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hingga ke Tanjung Bungah akan mengambil masa lima tahun untuk disiapkan.

Menurut beliau, sekiranya kesemua proses melibatkan fasa pertama pembinaan LRT itu berjalan lancar, pihaknya menjangkakan panggilan tender dapat dilaksanakan hujung tahun ini.

”Menerusi perbincangan dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini, beberapa persetujuan penting telah dicapai antaranya berkaitan dengan lokasi depot, jajaran serta sistem LRT berkenaan.

“Secara prinsipnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mempunyai bantahan dengan apa yang telah kita bentang dan fasa pertama dijangka dapat dimulakan tahun ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau salah satu lokasi cadangan tapak LRT di Sia Boey, di sini hari ini yang turut ditemani Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang.

Menurut Anthony, salah satu persetujuan penting yang berjaya dicapai ialah lokasi depot LRT berkenaan tidak akan dibina di Pulau Silikon di kawasan tambak laut Pulau Pinang Selatan (PSI), sebaliknya akan dibina di kawasan tanah sedia ada di jajaran LRT tersebut.

”Sebelum ini, cadangan asal depot adalah di kawasan pulau yang ditambak di PSI, namun kita tidak lagi mahu projek LRT ini terikat dengan projek PSI kerana mahu ia dapat dibina segera.

”Jadi keputusan yang dicapai ialah depot LRT dibina di tanah sedia ada, lokasi depot berkenaan akan dimuktamadkan kelak yang mana pada masa ini ada beberapa lokasi yang dicadangkan di kawasan jajaran LRT.

“Ini penting kerana tanpa lokasi depot, kita tidak boleh memuktamadkan dari segi kos dan jajaran, selepas kita muktamadkan perkara ini, ia akan dibawa ke peringkat Kementerian Kewangan untuk diputuskan,” katanya.

Tambah beliau, fasa pertama projek LRT berkenaan juga akan menghubungkan LTAPP sehingga ke Tanjung Bungah sepanjang 29 kilomter dengan 27 stesen.

”MRT Corp berpandangan lebih sesuai sekiranya jajaran LRT fasa pertama ini dipanjangkan sehingga ke Tanjung Bungah dan tidak berakhir hanya di Komtar.

”Komtar akan menjadi satu stesen utama di tengah-tengah George Town di mana tapak stesen sudah dikenal pasti iaitu di Sia Boey dan jajarannya akan disambung ke Tanjung Bungah,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kemungkinan bantahan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan jajaran projek itu yang dipanjangkan sehingga ke Tanjung Bungah, beliau berkata, pihaknya bersedia mendengar sebarang isu yang dibangkitkan.

”Jajaran baharu dari LTAPP ke Tanjung Bungah ini akan dipamerkan untuk tatapan umum bagi mendapatkan maklum balas rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya