Enam stesen LRT beroperasi semula

Enam stesen LRT beroperasi semula

rapid rail
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan operasi tren di enam stesen perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang diberhentikan sebelum ini bakal dibuka dan beroperasi semula pada 6 pagi, esok.

Ia melibatkan stesen Bandaraya, Sultan Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) berkata, pembukaan semula enam stesen tersebut adalah susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dam landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya sudah selesai.

“Tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren-tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, operasi perkhidmatan LRT di enam stesen terpaksa diberhentikan sejak 2 April lalu kerana tren-tren tidak dapat memenuhi kriteria pengoperasian dan perlu dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Rapid Rail memaklumkan bahawa faktor kegagalan ini adalah disebabkan oleh tren-tren tersebut tidak dapat kembali ke depoh bagi menjalani kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari 2023.

Sehubungan itu, Rapid Rail berkata, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 akan ditamatkan susulan pembukaan semula stesen-stesen tersebut.

“Bagi melancarkan perjalanan penumpang, Rapid Rail akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan.

“Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 buah bas dengan kekerapan setiap 10 minit,” jelasnya.

Tambahnya, penumpang turut mempunyai pilihan menggunakan laluan rel alternatif untuk menuju ke lokasi destinasi.

“Penumpang yang ingin menuju ke Hang Tuah, boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa. Manakala penumpang yang ingin menuju ke Chan Sow Lin, boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa.

“Penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini,” katanya.- utusan

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN