Empat hari, Polis Evo 3 kutip RM16 juta - Utusan Malaysia

Empat hari, Polis Evo 3 kutip RM16 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Filem Polis Evo 3 terus mencatat kecemerlangan apabila berjaya mengutip RM16 juta dalam tempoh empat hari tayangan di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura.

Kutipan yang cukup memberangsangkan itu sekali gus mengatasi jumlah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang dikutip semasa minggu pembukaan iaitu sebanyak RM12.2 juta dalam tempoh sama.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan kutipan itu hanya dalam tempoh empat hari menunjukkan penerimaan penonton terhadap filem tempatan semakin terbuka terutama berbanding filem luar negara.

“Alhamdulillah atas kejayaan luar biasa ini yang membuktikan penonton kita masih mempercayai filem tempatan serta mahukan filem berkualiti.

“Jutaan terima kasih kepada semua penonton kerana sokongan padu anda, menjadi nadi untuk filem Malaysia terus bernafas dan melangkah setanding naskhah luar negara,” katanya.

Dalam pada itu, jumlah kutipan filem arahan pengarah tersohor, Syafiq Yusof itu juga dijangka bakal mencatat sejarah baharu terutama musim cuti sekolah yang bermula minggu ini.

“Memandangkan cuti sekolah telah tiba, kami mengharapkan lebih ramai penonton akan datang ke pawagam untuk sama-sama menonton Polis Evo 3 bersama keluarga.

Polis Evo 3 yang menelan belanja RM6 juta itu menampilkan pelakon, Zizan Razak dan Shaheizy Sam malah membariskan lakonan mantap oleh pelakon-pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Nora Danish dan Syafiq Kyle.

Terdahulu, siri filem fenomena itu yang ditayangkan pada 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office dengan kutipan lebih RM18 juta, manakala Polis Evo 2 (2018) memungut sebanyak RM23 juta.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya