El Nino: Bekalan air untuk sektor pertanian cukup - Utusan Malaysia

El Nino: Bekalan air untuk sektor pertanian cukup

El Nino pertanian
AMIRUDIN Shari (tengah) melawat tapak pembinaan rumah pam projek SJAM berhampiran kolam Takungan Air Pinggiran Sungai Hibrid (HORAS) 600 dekat Kampung Sungai Darah di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Sektor pertanian di Selangor dijangka tidak mengalami gangguan bekalan air ketika fenomena El Nino melanda seluruh negara sejak April hingga September tahun ini berikutan kemampuan di kesemua empangan dan kolam takungan di seluruh negeri.

Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, pengurusan bekalan air di negeri ini melibatkan semua sektor selain pengguna domestik yang melibatkan sehingga 1.6 juta akaun pengguna.

“Jadi, kalau sektor pertanian berjalan seperti biasa dengan sedutan yang berlaku di muka-muka sauk ataupun ke intake, kita boleh bertahan enam bulan.

“Kalau ada kesan berlaku mungkin penyakit dan sebagainya. Tetapi air sungai kita cukup, cuma kalau ada isu-isu lain kita akan pantau secara kes demi kes, kita akan perhatikan dan kita semak semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan projek Skim Jaminan Air Mentah Selangor (SJAM), hari ini.

Tambahnya, paras air di kesemua empangan di negeri ini melebihi 95 peratus dan terdapat sebahagiannya terus meningkat berikutan cuaca hujan sepanjang minggu ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan hasil tanaman padi seramai 6,000 pesawah di Sungai Besar dijangka menyusut lebih 20 peratus akibat cuaca panas yang melanda negara yang menyebabkan sumber air terhad selain faktor serangan penyakit serta serangga perosak.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar, Sallehuddin Mohd. Iskan memberitahu, pesawah kebiasaannya akan memperoleh hasil pengeluaran padi antara sembilan sehingga 10 tan metrik namun menurun sehingga lapan tan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan awam dan Pertanian, Izham Hashim memaklumkan Selangor mampu bertahan sehingga lapan bulan tanpa hujan menerusi tujuh empangan dan 98 kolam takungan.

“Untuk ambil kira pertanian, ternakan dan sebagainya. Sebab itu kita gunakan segala kolam takungan yang ada di Selangor, macam Menteri Besar sebut empangan kita ada tujuh, kolam yang setakat kita ada audit 98, gabung semua air yang kita ada boleh bertahan enam hingga lapan bulan, tanpa hujan.

“Kesan El Nino terhadap pertanian kita boleh tangani sebab kita sudah rangka daripada awal, SJAM adalah pendekatan holistik bagaimana menguruskan air ketika kemarau dan juga banjir. Itu yang kita sedang usahakan, tentulah akan memakan masa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya