DUN Sabah lulus undang-undang Anti Lompat Parti - Utusan Malaysia

DUN Sabah lulus undang-undang Anti Lompat Parti

HAJIJI Noor semasa membentangkan RUU berkaitan undang-undang Anti Lompat Parti di DUN Sabah di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sabah bagi mewujudkan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar atau melompat parti.

RUU membabitkan peruntukan larangan ADUN bertukar parti itu diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 75 ADUN yang menghadiri sidang DUN.

Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M. Yahya mengumumkan seramai 75 ADUN bersetuju manakala empat ADUN tidak hadir semasa pengundian belah bahagian dilakukan mengikut klausa.

DUN Sabah mengadakan undi belah bahagian mengikut klausa susulan satu klausa yang membabitkan pemotongan atau pemansuhan Perkara 6 (7) Perlembagaan Negeri tidak dipersetujui oleh semua ADUN pembangkang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Perkara 6 (7) dicadangkan untuk dipotong kerana ia tidak lagi selaras dengan kehendak Fasal 3. Keadaan politik pada masa ini, di peringkat Persekutuan dan negeri hanya boleh dibentuk apabila parti-parti mencapai kesepakatan membentuk gabungan.

Oleh itu, Perkara 6 (7) tidak lagi relevan malah menimbulkan kekeliruan. Langkah ini juga bagi memudahkan tugas Yang Dipertua Negeri yang perlu memikirkan kalau parti-parti utama tidak melepasi bilangan 50 peratus kedudukan di DUN.

Berdasarkan Perlembagaan sedia ada, Ketua Menteri perlu dilantik dalam kalangan ketua parti yang memperoleh undi majoriti pada pilihan raya. Namun, keadaan semasa memperlihatkan tiada parti memperoleh kedudukan kerusi melepasi 50 peratus.

Hajiji berkata, pemotongan Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri itu bukan bertujuan menghakis kuasa Yang Dipertua Negeri sebaliknya memudahkan urusannya dalam melantik Ketua Menteri.

Pindaan RUU Perlembagaan Negeri tersebut antaranya menetapkan seseorang ahli dewan hendaklah terhenti menjadi ADUN dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sekiranya ADUN tersebut bertukar atau melompat parti.

Walau bagaimanapun seseorang ADUN tidak akan kehilangan kerusi sekiranya wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

Pindaan RUU itu juga memansuhkan larangan bertanding selama lima tahun terhadap mana-mana ADUN yang telah meletak jawatan. Justeru, ADUN yang telah melepaskan jawatan boleh bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa.

Menurut beliau, pelaksanaan undang-undang Anti Lompat Parti itu penting bagi menghentikan budaya lompat parti dalam kalangan ADUN yang mengakibatkan berlaku ketidakstabilan politik dan mengganggu perancangan pembangunan di Sabah.

Dengan kelulusan pindaan RUU berkenaan, Sabah menjadi negeri kesembilan melaksanakan undang-undang Anti Lompat Parti selepas ia diluluskan di DUN Perak, Kelantan, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya