DUNGUN: Keseronokan sekumpulan penuntut Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kemaman yang berkelah dan mandi-manda di kawasan rekreasi Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Bagan, Hulu Dungun, dekat sini, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka lemas, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi, Ahmad Syahid Hamdan yang berasal dari Kampung Tok Jembal, Seberang Takir, Kuala Terengganu dan Muhammad Ridhwan Zawawi, dari Kampung Tasik Masjid, Bukit Payong, Marang masing-masing berusia 19 tahun lemas ketika mandi di kawasan tersebut.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar semester kedua Diploma Kejuruteraan Elektrik ke kawasan perkelahan tersebut bersama 16 orang rakan sekelas mereka.
“Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakannya mandi di kawasan lain, sementara rakan-rakannya yang lain mandi di kawasan lebih cetek.
“Kedua-kedua mangsa yang terjun ke dalam air disedari tidak timbul oleh orang kampung dan rakannya yang berada di lokasi kejadian yang kemudiannya menghubungi pasukan keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Baharudin berkata, bagaimanapun mayat kedua-kedua mangsa dijumpai orang kampung yang kebetulan berada di lokasi kejadian yang bertindak terjun dan menyelam mencari mangsa sebelum pasukan keselamatan tiba.
“Mayat Muhammad Ridhwan ditemui kira-kira pukul 12.08 minit, sebelum mayat Ahmad Syahid ditemukan kira-kira tujuh minit kemudian iaitu pukul 12.15 tengah hari di kawasan pusaran air terjun,” katanya.
Baharudin berkata, mayat kedua-kedua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut. – UTUSAN