IPOH: Dua rakan berdepan hukuman mati di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.06 kilogram, minggu lalu.
Tertuduh, R. R. Pirapagaran, 39, dan S. Genesan yang kudung tangan kiri mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Jessica Daimis.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah jenis heroin seberat 21,069 gram di sebuah rumah di Jalan Jelapang Bayu 6, Puncak Jelapang, Ipoh pada pukul 9 malam, 16 Mei 2023.
Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syahirah Azahar dan hanya Genesan yang diwakili peguam Dayang Nor Emilia Azman Shah.
Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan daripada Jabatan Kimia.
Media pada 18 Mei lalu melaporkan, satu serbuan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan makmal memproses dadah.
Dalam serbuan pada pukul 9 malam itu, Pirapagaran dan isteri berusia 38 tahun ditahan bersama 21,676 gram dadah disyaki heroin dan 3,640 gram cecair disyaki dadah sama dengan nilai rampasan RM210,122.80.
Tangkapan itu kemudiannya membawa kepada tangkapan kedua membabitkan ‘tauke’ kepada sindiket berkenaan pada hari sama di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Buntong 3 Tambahan. – UTUSAN