KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerusi pasukan Pusat Kecemerlangan Unmanned Aeriel Systems (COE-UAS) membangunkan ‘Wasp Warrior’ dron yang berperanan memusnahkan sarang serangga berbisa di lapangan yang berisiko tinggi.
Kerja-kerja memusnahkan sarang serangga berbisa seperti tebuan itu tertumpu di kawasan berisiko tinggi iaitu di pencawang elektrik dan menara pemancar.
Inisiatif tersebut membantu mengurangkan risiko kepada anggota petugas apabila melaksanakan kerja-kerja memusnahkan sarang serangga berbisa itu khususnya di kawasan tinggi.
Ketua COE-UAS, Prof. Dr. Hazry Desa berkata, ‘Wasp Warrior’ merupakan prototaip dron yang mampu terbang dan membawa 10 liter racun serangga dengan stabil pada ketinggian 40 kaki untuk berada di lokasi terdekat pada sasaran.
“Penggunaan dron itu membantu petugas memusnahkan sarang tebuan tanpa perlu membahayakan diri.
“Petugas hanya perlu mengawal dron pada jarak selamat dengan menggunakan alat kawalan khas,” katanya.
Terbaharu pasukan penyelidik COE-UAS itu berjaya menghapuskan sarang tebuan di salah satu pemancar internet menggunakan ‘Wasp Warrior’ di kampus Unimap di sini baru-baru ini.
Tambah Hazry, metodologi baharu itu mampu mengurangkan kerosakan pada komponen kabel atau pemancar memandangkan ia menggunakan racun serangga berbanding kaedah penggunaan api.
“Jika menggunakan api untuk membakar sarang tebuan tersebut, sudah tentu berpotensi mendatangkan kerosakan dan mengakibatkan kerugian yang lebih besar terhadap peralatan seperti kabel, alat pemancar dan komponen elektrik dan elektronik lain.
“Kaedah semburan racun serangga oleh ‘Wasp Warrior’ yang direka bentuk khas ini bukan sahaja efisien malah mesra alam sekitar,” katanya. – UTUSAN