KANGAR: Sebuah dokumentari khas telah dihasilkan bagi memperkenalkan keunikan biodiversiti alam semula jadi di Wang Kelian, Padang Besar yang menyimpan pelbagai khazanah berharga sejak beratus juta tahun lalu.
Penerbitan dokumentari bertajuk ‘Wang Kelian: Lembah Yang Kian Hilang’ berdurasi selama 30 minit itu dilaksanakan hasil usaha Roots & Shoots dan Perlis Nature and Wildlife (PNW) dengan mendapat sokongan geran daripada Think City di bawah Program Pemangkin Ekonomi Budaya.
Melalui penerbitan dokumentari tersebut, ia merupakan komitmen ditunjukkan pihak terlibat bagi mendokumentasikan segala sumber kekayaan di Wang Kelian yang semakin dilupakan atau telah hilang sejak sekian lama.
Ketua projek berkenaan, Peter Ong berkata, selain dokumentari, projek itu juga turut menerbitkan sebuah buku bagi menceritakan tentang kekayaan biodiversiti dan geodiversiti yang menjadi nadi kepada kehidupan masyarakat di kawasan itu sejak sekian lama.
“Bagi menyiapkan dokumentari ini, kami mengambil masa selama satu bulan manakala penghasilan buku berkenaan pula memakan masa selama dua bulan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Wang Kelian Perlis: Lembah Yang Kian Hilang di Hotel Brasmana di sini hari ini.
Sementara itu, pengasas PNW, Syamil Abd Rahman berkata, Wang Kelian yang terletak di Banjawan Nakawan berusia 500 juta tahun itu sememangnya mempunyai pelbagai spesis endemik serta sukar ditemui di lokasi lain dalam negara ini.
Katanya, menerusi penghasilan dokumentari dan buku tersebut, ia diharap dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang perspektif keunikan yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Malah penghasilan dua produk ini juga diharap dapat menarik perhatian dunia tentang keistimewaan di Wang Kelian yang mempunyai kekuatan tersendiri dari aspek geopelancong, ekopelancongan dan arkeologi.
“Banyak spesies unik dapat ditemui dengan antaranya seperti beruk kentoi yang hanya ada di Wang Kelian,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed pula berkata, projek berkenaan memberi penumpuan bagi mengetengahkan khazanah negara di Wang Kelian dengan kerjasama daripada penduduk setempat di kawasan itu.
Ujarnya, tawaran geran yang diberikan itu adalah berfokuskan kepada Wilayah Utara dan pertama kali dilaksanakan di negeri Perlis.
“Usaha ini turut disertai oleh The Habitat Foundation yang sememangnya sering terlibat membantu Jabatan Perhutanan dalam Program Pembangunan Komuniti Taman Negeri,” katanya.
Di samping itu, Presiden Roots & Shoots Malaysia, TP Lim berkata, dokumentari yang dihasilkan itu juga bakal ditayangkan di sebuah stesen televisyen swasta pada bulan Ogos nanti bersempena sambutan kemerdekaan.
Tambahnya, perbincangan lanjut juga sedang dijalankan bersama beberapa syarikat aplikasi penstriman dalam talian bagi menayangkan dokumentari tersebut kepada orang ramai.
“Malah buat pertama kalinya, nama Wang Kelian juga akan mula dikenali dengan tawaran promosi dan pakej ekopelancongan oleh Malaysia Airlines melalui Majalah Going Places,” katanya.-UTUSAN