KEPALA BATAS: Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut bersedih atas berita kehilangan peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023), yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim.
Beliau berkata, Muhammad Hawari, 33, ada menghantar mesej menerusi media sosial WhatsApp kepadanya sebelum memulakan misi ke Gunung Everest.
“Saya amat berdukacita. Sebelum memulakan misi ke Everest, beliau ada menghantar mesej Whatsapp kepada saya “I’m ready to Everest”.
“Saya doakan semoga beliau diberikan keselamatan.
“Sama-sama kita doakan semoga diberikan kesejahteraan dan selamat ditemui dengan izin Allah SWT serta selamat kembali ke pangkuan keluarga tercinta.
“Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang maha memberi keselamatan, dari keselamatan, Maha Suci Allah, Pemilik kebesaran dan kemuliaan, Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, beliau turut meluangkan masa menziarahi ibu Muhammad Hawari, Che Tom Hassan, 64, di kediaman mereka di Kampung Permatang Kerai Besar, di sini pagi tadi.
Terdahulu, Muhammad Hawari dilaporkan hilang selepas turun dari puncak Everest dan berehat di kem empat pagi kelmarin selepas berjaya menakluk punca Everest petang Khamis lalu. – UTUSAN