KUALA SELANGOR: Tindakan sembilan lelaki membuat onar dengan motosikal pada waktu malam memakan diri apabila diberkas polis di sekitar Tanjong Karang di sini, semalam.
Kesemua individu berusia 20-an tahun yang menetap di luar daerah ini ditahan dalam Operasi Cegah Samseng Jalanan, kira-kira pukul 12 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, operasi itu dijalankan hasil aduan bunyi bising yang menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk setempat.
Katanya, pemeriksaan mendapati semua lelaki itu melakukan kesalahan antaranya tiada lesen memandu, menunggang di bawah usia 16 tahun, tiada cukai jalan dan insurans.
“Kesalahan itu turut melibatkan nombor plat, pengubahsuaian ekzos dan aksesori tidak lengkap. Justeru, polis mengeluarkan sebanyak sembilan saman kepada individu tersebut,” katanya hari ini.
Tambah beliau, sembilan lelaki itu kebanyakannya dari Klang dan sanggup datang semata-mata untuk membuat bising dengan motosikal mereka.
Sehubungan itu, Ramli menasihatkan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya dan menghormati masyarakat setempat.
“Ibu bapa atau penjaga turut diminta memantau pergerakan anak supaya tidak terlibat aktiviti motosikal yang menyalahi undang-undang dan jenayah terutama ketika musim Aidilfitri,” ujarnya. – UTUSAN