PETALING JAYA: “Kahwin? Tunggu sahaja berita baik saya.”
Demikian jawapan usahawan dan selebriti sensasi, Datuk Seri Vida berhubung desas-desus kononnya dia sedang sibuk dengan persiapan perkahwinannya.
Enggan mengiya atau menafikan spekulasi tersebut, jelas Vida, buat masa ini dia tidak boleh berkongsi apa-apa berita kerana menghormati beberapa pihak lain.
“Memang kalau ikutkan, saya kurang kontroversi kebelakangan ini. Tetapi itu disebabkan kesibukan saya menguruskan beberapa hal peribadi.
“Bukan mahu menyorokkan berita baik, cuma nanti sahajalah. Bila tiba masa sesuai, saya akan kongsi,”ujarnya kepada Utusan Malaysia.
Desas desus tersebut mula menjadi buah mulut apabila video muzik single raya baharunya, Muah Muah Raya tidak mencetuskan sebarang kontroversi sebaliknya mendapat pujian ramai.
Bercakap tentang single raya baharunya, tambah Vida, kekangan waktu juga menyebabkan dia tidak dapat mempromosikan lagu tersebut seperti sebelum ini.
“Memang orang puji, ramai suka tetapi itulah, memang situ sahajalah lagu itu. Tidak seperti lagu-lagu sebelum ini.
“Pasrah juga bila keadaan itu berlaku. Rasa rugi bila tak dapat rangka promosi dengan baik. Nak buat macam mana, saya sibuk,” katanya.