Di mana keadilan buat kru penggambaran? - Utusan Malaysia

Di mana keadilan buat kru penggambaran?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Salleh baru-baru ini membangkitkan isu kontrak kerja kru penggambaran yang disifatkan berat sebelah dan tidak selaras.

Katanya, disebabkan status pekerja bebas, golongan itu dikerah habis-habisan selain dipaksa bekerja untuk tempoh yang terlalu panjang.

Benar apa yang dikatakan Khalil, kebajikan ramai kru penggambaran sejak lama dahulu sering diperkotak katikkan.

Disebabkan berstatus ‘pekerja bebas’, hak mereka dipandang enteng. Nasib tak ubah layang-layang putus tali.

Mengapa dilema ini tidak bertitik noktah? Siapa sebenarnya yang memperjuangkan hak pekerja filem tanpa agenda tersembunyi dan kepentingan tertentu?

Perlukah isu ini dibentangkan di Parlimen? Hangat Seminggu bawakan isu ini untuk dibincangkan.

Tanggung kos ganti rugi, potong gaji

PENGALAMAN terpaksa menanggung kos ganti rugi ribuan ringgit gara-gara kerosakan peralatan penggambaran meninggalkan trauma terhadap pengarah fotografi, Indra Che Muda.

Katanya, disebabkan kejadian tersebut, terpaksalah berdepan pemotongan gaji untuk membayar semula ganti rugi tersebut.

“Ia berlaku selepas kami warm up kamera sebelum mula penggambaran. Entah kenapa shutter kamera tiba-tiba pecah.

“Harga shutter sahaja bernilai RM32,000. Tapi, selepas berbincang, pihak produksi bersetuju untuk mengutip bayaran ganti rugi RM5,000 sahaja. Itu pun terpaksa potong gaji.

“Syarikat produksi memang tidak membeli insurans bagi kelengkapan dan alatan penggambaran. Ia tidak munasabah. Apa-apa berlaku, kru yang terpaksa menanggung kesannya,” katanya.

Kata Indra lagi, dia menyambut baik usaha ke arah mengiktiraf kru penggambaran sebagai pekerja, bukan pekerja bebas.

“Saya tidak nafikan, kami memang dipinggirkan. Industri filem masih tidak dianggap penting kerana belum menjana pendapatan untuk negara.

“Saya harap status kami diubah, tidak lagi dianggap pekerja bebas agar hak kami tidak dipermainkan,” jelasnya.

Serik ditipu syarikat produksi – Jurukamera

PERNAH ditipu syarikat produksi melibatkan jumlah ribuan ringgit, membuatkan jurukamera, Al-Razi Zarini, 32, serik untuk bekerjasama tanpa melibatkan sebarang perjanjian atau bukti tawaran pekerjaan.

ebagai pekerja bebas yang sudah berkecimpung dalam industri seni sejak 12 tahun lalu, Al-Razi berkata, sehingga kini dia masih mengharapkan bayaran tersebut dilunaskan kerana sudah memakan masa lebih setahun.

“Pada mulanya, syarikat produksi ini beritahu ada penggambaran pada tarikh tertentu selama seminggu dan jumlah bayaran juga sudah dipersetujui bersama.

“Namun, apabila tiba masa pembayaran sepatutnya dibuat, pelbagai alasan diberikan. Selepas itu, saya tunggu dan kejar lagi sehingga menyebabkan akhirnya kawan saya yang lain pun turut ditipu.

“Syarikat produksi itu bagi alasan hasil kerja saya kurang memuaskan dan tidak mencapai tahap dikehendaki dan kononnya saya tidak berkomunikasi dengan pengarah semasa penggambaran,” katanya.

Sejak 2011, Al-Razi berkata, dia banyak terlibat dengan penggambaran bagi program televisyen, filem pendek dan iklan komersial.

Katanya, sudah menjadi kebiasaan dia tidak ditawarkan dengan sebarang kontrak kerja kerana produksi swasta kebanyakan memberi tawaran melalui ‘cakap mulut’ sahaja.

“Selalunya saya terima atas dasar percaya sebab kawan-kawan dan sudah kenal lama. Kami tiada pilihan lain sebab bukan setiap hari ada job.

“Kalau projek dokumentari dengan stesen kerajaan, RTM selalunya memang mempunyai kontrak kerja,” katanya.

Ditanya sama ada pernah mengutarakan masalah yang dihadapi kepada Profima, Al-Razi berkata, dia tidak mengambil tindakan tersebut kerana hilang kepercayaan dengan persatuan itu.

“Bagi saya Profima hanya melayan dan membantu individu yang terkenal sahaja. Kalau pekerja bawahan seperti kami kurang dapat perhatian dan aduan pun tidak diendahkan,” katanya.

DOP culas bayar gaji kru

PENGARAH, Shahrulezad Mohameddin mendedahkan wujud pengarah fotografi (DOP) yang culas melunaskan bayaran kru penggambaran yang bekerja di bawah mereka.

Katanya, keadaan tersebut mencetuskan kekeliruan sehingga mengakibatkan penerbit dipersalahkan kerana bayaran gaji tidak dilunaskan sebaiknya.

“Memang ada DOP yang culas membayar gaji, walhal penerbit telah melunaskan bayaran, cuma agihan tidak dibuat secara telus. Tapi ini adalah kes terpencil.

“Kes sebegini kebanyakannya kami rujuk terus kepada mangsa. Memang ada yang akui tidak dibayar. Jika ia berlaku, pihak kami akan potong gaji DOP dan bayar kepada kru yang menjadi mangsa,” ujarnya.

Dalam masa sama, Shahrulezad juga mengakui amat simpati dengan nasib menimpa kebanyakan kru penggambaran yang kebajikan mereka diabaikan.

“Saya sentiasa berpesan kepada Eksekutif produksi saya agar jaga kebajikan kru penggambaran. Itu adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya