Dewan Persidangan DUN Perak berwajah baharu selepas 25 tahun - Utusan Malaysia

Dewan Persidangan DUN Perak berwajah baharu selepas 25 tahun

MOHAMAD Zahir Abdul Khalid (kanan) memberi penerangan kepada wartawan mengenai kerja naik taraf yang telah dilakukan di Dewan Persidangan DUN Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mesyuarat Ketiga Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 yang bermula Isnin ini berwajah baharu dengan pengubahsuaian membabitkan ruang dalaman Dewan Persidangan.

Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, ia melibatkan naik taraf meja dan kerusi Ahli DUN (ADUN) yang melibatkan kos sebanyak RM1 juta.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan juga sudah dibuat sebelum ini antaranya menaiktaraf sistem audio dan visual serta karpet di dalam Dewan Persidangan yang sudah 25 tahun tidak ditukar.

“Penambahbaikan ini dapat memberikan keselesaan dan suasana yang lebih segar kepada Ahli Dewan, seiring dengan iltizam untuk memartabatkan Dewan Negeri sebagai institusi legislatif tertinggi negeri.

“Kerja pengubahsuaian dewan ini bermula pada Februari lalu dan telah siap sepenuhnya pada bulan ini dan kos sebanyak RM1 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohammad Zahir berkata, sepanjang empat hari persidangan tersebut, sesi soalan lisan akan berlangsung selama 90 minit.

Katanya, pada persidangan kali ini, dua Rang Undang-Undang (RUU) akan dibawa iaitu Enakmen Hotel Perak 2023 dan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023.

“Terdapat dua usul yang akan dibawa oleh Menteri Besar Perak iaitu Usul Meminda Perkara 38, Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan Usul Pemilihan Ahli Dewan Negara berikutan terdapat satu kekosongan ketika ini,” katanya.

Katanya, seramai 46 ADUN diberikan peluang untuk berbahas berkaitan dua RUU tersebut yang mana 23 ADUN akan berbahas berkaitan Enakmen Hotel Perak 2023 manakala baki 23 ADUN berbahas berkaitan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023.

“Tempoh masa perbahasan kepada penyokong kerajaan dan Ketua Pembangkang adalah selama 30 minit bagi setiap seorang manakala tempoh masa perbahasan bagi setiap pembahas yang lain adalah selama 15 minit seorang.

“Tempoh masa sesi penggulungan bagi setiap RUU oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah selama 60 minit seorang,” katanya.

Sementara itu, sesi persidangan boleh mengikuti ‘live streaming’ melalui saluran YouTube DUN Perak di portal rasmi Kerajaan Negeri Perak dan laman Facebook rasmi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya