Dera: Tekanan hidup, masalah mental ibu bapa - Utusan Malaysia

Dera: Tekanan hidup, masalah mental ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tekanan hidup dan masalah mental dihadapi ibu bapa dilihat sebagai punca utama mendorong tindakan di luar jangka iaitu pende­raan kepada anak-anak mereka, baik secara sedar atau tidak.

Perkara itu termasuk masalah dihadapi ketika di tempat kerja atau masalah kewangan yang memacu kepada berlakunya penderaan kepada anak-anak ketika di rumah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Kaunseling dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Mohamad Isa Amat berkata, penderaan berlaku di­sebabkan ibu bapa tidak dapat mengawal daya tindak balas ketika berdepan masalah kehidupan.

Menurut beliau, ia menyebabkan anak-anak menjadi salah satu ‘platform’ yang kemungkinan secara tidak sedar menyebabkan ibu bapa mengekspresi emosi secara berlebihan sehingga hilang kawalan.

“Walaupun tiada statistik, kita tak boleh nafikan kesan daripada penderaan boleh membawa kepada depresi dan kegelisahan (anxiety). Malah kitaran di dalam psikologi ini, kebiasaannya pelaku adalah bekas mangsa.

“Namun, ia masih bergantung kepada daya tindak dan nilai hidup anak-anak itu sama ada mereka membesar menjadi pen­dera kerana terdapat kalangan mangsa mempunyai kemampuan bangun semula iaitu menghentikan kitaran tersebut.

“Ada klien saya menjadi mangsa dera, tetapi apabila sudah berkeluarga, dia ada kesedaran sendiri untuk tidak me­ngulang kitaran itu,” katanya.

Sebelum ini, akhbar ini mendedahkan, kes penderaan kanak-kanak hingga maut terus berlaku dengan ibu kandung menjadi pelaku tertinggi daripada 220 kes yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh lima tahun sejak 2018.

Mengulas lanjut, Mohamad Isa berkata, penderaan berterusan yang dilakukan oleh ibu bapa akan mewujudkan hubungan ‘cinta-benci’ antara kumpulan tersebut dengan anak-anak mereka sendiri.

“Anak-anak akan melihat ibu bapa sebagai role model, jadi sebaiknya biarlah kita berkelakuan yang betul kerana mereka akan berpandangan bahawa segala tindakan kita sama ada benar atau tidak tetap sesuatu yang perlu diambil dan diikuti.

“Ini akan menyebabkan anak-anak didera itu terasa dibenci oleh ibu bapanya. Ini meningkatkan hubungan cinta-benci, di mana anak tidak ada tempat untuk melahirkan rasa sayang dan pada masa wujud perasaan benci pada ibu bapanya sendiri.

“Apabila anak-anak semakin membesar, mereka melihat personaliti ayah atau ibunya sebagai individu yang hanya tahu memberi hukuman berbanding ada ruang untuk mereka rasa disayang. Ini mendorong mereka memilih kawan sebagai individu ‘paling memahami,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya