Datuk Seri didakwa minta, terima rasuah RM15 juta

Datuk Seri didakwa minta, terima rasuah RM15 juta

SIM Choo Thiam hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan rasuah berjumlah RM15 juta melibatkan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM15 juta bagi mendapatkan projek milik agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) antara Jun dan Julai 2021.

Datuk Seri Sim Choo Thiam, 53, meminta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Lelaki itu didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri membantu Asia Coding Centre untuk mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah KDN.

Sim juga berdepan tiga lagi pertuduhan menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM15 juta daripada individu sama (Kim Hong) sebagai dorongan untuk Hamzah melakukan perkara serupa.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di dua lokasi di pejabat Shaas Holdings dan kawasan letak kereta di Solaris Dutamas, Jalan Dutamas 1 di sini antara Jun 2021 dan 30 Julai 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Peguam Low Wei Loke yang mewakili tertuduh tidak membantah syarat tambahan dan wang jaminan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan serta memberitahu mahkamah anak guamnya akan membayar wang jaminan itu hari ini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin bagi keempat-empat pertuduhan berserta syarat tambahan selain turut disenaraihitam dari ke luar negara kecuali dengan kebenaran mahkamah sehingga pelupusan kes.

Rozina kemudian menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya