PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka satu dasar baharu berhubung keperluan memberi pampasan kepada pekebun atau pemilik tanaman yang mengalami kerosakan dan kerugian akibat serangan hidupan liar.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ketika ini rangka mengenai dasar tersebut masih di peringkat perbincangan dengan beberapa kementerian terlibat.
Menurut beliau, ia termasuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan.
“Bagi kematian dan kecederaan memang sudah ada sedikit sagu hati oleh kerajaan yang disebabkan oleh haiwan liar (tetapi) yang menjadi isunya sekarang apabila terdapat kerosakan ke atas tanaman.
“Kita tidak mahu bila berlaku kerosakan dan sebagainya ia akan menyebabkan kemarahan orang ramai dan (mereka) ambil tindakan yang akan memberi kesan kepada hidupan liar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan NRECC dan Bicara Biodiversiti di Wisma Sumber Asli, hari ini.
Menerusi sesi dialog itu, Nik Nazmi menyuarakan kebimbangan sekiranya kerajaan tidak bertindak secara proaktif, konflik antara manusia dan hidupan liar akan menjadi lebih serius.
Dalam pada itu, beliau berkata, kewujudan dasar sedemikian adalah penting sebagai usaha untuk mengurangkan konflik tersebut.
Tambahnya, perincian mengenai rangka itu juga akan dilihat secara teliti dan menyeluruh dengan mengambil kira lokasi kebun dan kawasan tanaman.
“Kita akan lihat secara menyeluruh kerana kita tahu terlalu banyak kawasan-kawasan yang dibuka dan dibangunkan termasuk keperluan polisi lokasi kebun sama ada terletak dalam kawasan hutan simpan atau kawasan pertanian. –UTUSAN