PUTRAJAYA: Orang ramai yang memiliki gejala strok haba diingatkan supaya segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan bagi mengelak komplikasi lain.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara gejala strok haba termasuk rasa ingin pitam, kelesuan dan suhu badan tinggi.
“Kami ingin menasihatkan agar dapatkan rawatan segera jika ada gejala berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Sitkom Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di sini, hari ini.
Katanya, KKM akan terus memantau perkembangan fenomena cuaca panas di seluruh negara termasuk bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM).
Dr. Zaliha berkata, KKM bekerjsama rapat dengan KPM bagi memastikan anak-anak dipantau dan diberi perhatian berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan sebelum ini.
Menurutnya, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah dan sentiasa berlindung daripada terkena haba panas.
Dalam perkembangan sama, Dr. Zaliha berkata, setakat ini, hanya satu kematian disahkan akibat strok haba, membabitkan kanak-kanak berusia 11 tahun di Kelantan.
“Beberapa insiden yang kita baca di laporan media sejak akhir ini menyebabkan ada orang yang terkesan sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital,” katanya. – UTUSAN