KUALA LUMPUR: Pengarah, Viva Westi, 50, menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai punca keberanian untuk mengarahkan filem Anwar The Untold Story.
Katanya, kedua figura disegani itu telah memberi semangat sekaligus menyuntik keyakinan untuk dia merealisasikan sebuah filem yang berisiko namun penting untuk dipertontonkan kepada masyarakat di negara ini.
“Kadangkala saya terkenang, adakah saya cukup berani kerana untuk menceritakan sesuatu yang dianggap taboo adalah tidak mudah.
“Tetapi, saya dapat kekuatan setiap kali bertemu Anwar dan Wan Azizah. Anwar beri saya keberanian untuk hasilkan filem ini.
“Mungkin sepanjang karier perfileman saya, inilah saatnya untuk saya menceritakan kisah beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tayangan perdana filem tersebut, di ibu negara, semalam.
Hadir sama adalah Anwar yang ditemani isteri, Wan Azizah serta barisan selebriti tanah air termasuk teraju utama filem tersebut, Farid Kamil, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam.
Anwar The Untold Story bakal menjengah ke lebih 140 pawagam seluruh negara bermula 18 Mei depan.
Turut membintangi filem berkenaan adalah pelakon terkenal, Acha Septriasa, Hasnul Rahmat, Piet Pagau, Dewi Irawan dan ramai lagi.
Viva dalam pada itu berharap penonton di Malaysia menerima filem tersebut dengan tangan terbuka.
“Saya tidak berharap cerita yang digarap dalam filem ini seratus peratus sama dengan pengalaman Anwar.
“Memadai bagi saya sekiranya penonton memperoleh jalan cerita sebenar, meskipun sekadar 20 peratus kesamaannya dengan pengalaman beliau,” katanya lagi.