KUALA LUMPUR: Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad memberi jaminan tiada ahli yang akan keluar daripada parti itu semata-mata kerana isu kehadiran pemimpin dan ahli DAP ke Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.
Menurut Noraini, semua pihak seharusnya melihat secara positif kerana pada waktu ini kerajaan yang dibentuk merupakan sebuah Kerajaan Perpaduan.
“Insya-Allah tiada ahli yang akan keluar. Kita lihat secara positif sebab kita bentuk kerajaan lebih stabil iaitu Kerajaan Perpaduan dan yang memimpin adalah parti Harapan. Kemudian, Barisan Nasional (BN) dan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak termasuk parti-parti kecil.
“Maknanya total 148 ahli-ahli Parlimen. Kita tengok dari segi tersebut dan insya-Allah, macam saya pernah cakap dalam ucapan saya sebelum ini, masing-masing penuh dengan pengalaman dan kekuatan sendiri.
“Kita perlu gunakan kekuatan masing-masing itu untuk bersama-sama bergerak ke hadapan. UMNO pun ada kekuatan sendiri, begitu juga dengan Harapan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pun sama. Jangan fikir negatif, kita kena bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Risda di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai andaian bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang meluahkan rasa bimbang bahawa lebih ramai ahli parti itu kemungkinan akan menolak UMNO selepas Dewan Merdeka yang menjadi lokasi himpunan keramat orang Melayu dimasuki pemimpin dan ahli DAP.
Bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu meramalkan UMNO akan terus ditolak pada PRN dan pilihan raya umum PRU akan datang.
Dalam pada itu, Noraini turut mengulas mengenai pendirian Wanita UMNO berhubung isu penggunaan kalimah oleh penganut agama Kristian di Sarawak dalam penerbitan bahan agama mereka.
Katanya, UMNO sentiasa perjuangkan kepentingan dan kekuatan agama Islam sejak sekian lama dan pastinya konsisten dalam perjuangan itu.
“Pun begitu, kita berharap kerajaan dapat lihat semula mengenai keputusan tersebut dan seharusnya menjaga kepentingan agama dan bangsa, apalagi berhubung isu kalimah Allah ini,” katanya.
Ahad lalu, media melaporkan, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain- ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pendidikan.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.
Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.
Antara lain, notis itu menyatakan bahawa KDN dan Kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos. – UTUSAN