Dakwaan tukar kerajaan terus berlegar - Utusan Malaysia

Dakwaan tukar kerajaan terus berlegar

tukar kerajaan
MUHAMMAD Sanusi Md. Nor, Ahmad Yunus Hairi (tengah) berjabat serta mengangkat tangan bersama Noh Omar, Annuar Musa serta Datuk Seri Shahidan Kassim (kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pas Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Perpaduan terus diasak dengan spekulasi pertukaran kerajaan dalam masa terdekat oleh pembangkang yang mendakwa mereka mempunyai sokongan cukup dalam Dewan Rakyat bagi membentuk kepimpinan baharu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, berkata, perubahan tersebut akan berlaku tidak lama lagi.

“Tak lama dah, dia kata (Bekas Ahli Parlimen Ketereh) Tan Sri Annuar Musa pun kata tak lama dah. Tan Sri Noh Omar pun ada sini,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Pas Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis itu.

Wartawan: Datuk Seri maklumkan dalam ucapan tadi, tak lama dah. Boleh Datuk Seri ulas lanjut mungkin komposisi Perikatan Nasional (PN) dalam Dewan Rakyat?

Muhammad Sanusi: Tak lama lagi? Rahsia.

Wartawan: Ada bayangan tak Datuk Seri?

Muhammad Sanusi: Rahsia

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi memaklumkan pihaknya menerima borang permohonan daripada bekas-bekas pemimpin parti lain untuk menyertai komponen PN itu, baru-baru ini dan akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

“Ada, kita akan umumkan nanti. Dalam masa terdekat. Saya tak boleh sebut (jumlah). Sabar. Kami terima permohonan, yang akan putuskan adalah pimpinan Pusat. Tiap-tiap bulan kita bermesyuarat berapa ribu orang (keahlian baharu). Permohonan sudah diterima,” jelasnya.

Annuar pula ketika ditemu pada majlis tersebut enggan mengulas dakwaan beliau bakal menyertai Pas sebagai wadah politik baharu selepas bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu dipecat daripada UMNO.

“Bukan masa sekarang (untuk mengulasnya),” ringkasnya.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dalam ucapannya mendakwa gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) melakukan ekstrimisme kuasa sebagai pimpinan termasuk menggunakan dana kerajaan untuk melaksanakan kempen mereka.

“Ekstrimisme yang sedang berlaku dalam Kerajaan Persekutuan sedang melanda seluruh rakyat Malaysia dengan tidak semena-mena, peruntukan kerajaan di bawah kementerian-kementerian boleh digunakan semahunya untuk melaksanakan aktiviti kempen PH-BN.

“Yang kita nampak sangat jelas, yang mereka marah sangat dekat saya, sebab saya kata hendak buat jamuan raya ke hendak kempen pilihan raya?” katanya.

Selain itu, Pengarah Pilihan Raya PN itu turut mendakwa kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan di negeri-negeri terpilih berdasarkan kepentingan politik tanpa justifikasi yang munasabah.

“Hari ini dia umum Negeri Sembilan dapat (lebih) RM1 bilion, kelmarin umum di Pulau Pinang. Negeri kecil sahaja, oleh kerana ada kepentingan besar di situ, dia umum hendak tanggung projek-projek infrastruktur contohnya pelan pengangkutan di Pulau Pinang. Lebih kurang RM7 – RM8 bilion projek itu. Umum macam itu sahaja.

“Tetapi, tak apa, oleh kerana mereka ada kepentingan politik yang besar di Pulau Pinang, berapa bilion ringgit pun dia sanggup. Itu saya kata ekstrim.

“Bukan kerana pembangunan yang munasabah, tetapi pembangunan semata-mata hendak raih populariti hendak dapat undi,” ucapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya